KUALA LUMPUR - Penjaja warga asing dilihat tidak serik dan tetap berdegil apabila masih berani beroperasi menjual makanan di sekitar lokasi tumpuan pelancong di ibu negara.
Walaupun pernah disita sebelum ini, penjaja haram terbabit meneruskan perniagaan menjual jagung bakar di sekitar bandar raya sibuk dengan kehadiran pelancong.
Terbaharu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meneruskan tindakan menyita barangan penjaja jagung bakar warga asing di sekitar kawasan LRT Ampang dan Saloma Bridge, Jalan Saloma malam Isnin.
DBKL dalam satu kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan, tindakan khas itu dilaksanakan Jabatan Penguatkuasaan DBKL itu dalam satu operasi Tindakan Penguatkuasaan dan Sitaan.
"Antara barangan yang disita adalah jagung, papan alas, dapur panggang, rak plastik dan lain-lain," menurutnya pada Selasa.
Menurut DBKL, barangan dan peralatan yang disita dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tujuan dokumentasi dan tindakan selanjutnya.
Sejak Januari lalu, DBKL mengambil tindakan berterusan dan pemantauan berkala di sekitar kawasan tumpuan di ibu negara menerusi siri siri tindakan khas termasuk di KLCC.
Mengulas lanjut, DBKL menegaskan pihaknya akan melakukan kawalan dan pemantauan secara berkala di lokasi kawasan tumpuan termasuklah menyita premis yang tidak mempunyai lesen sah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!