Terengganu pantau, elak ajaran sesat kembali menular

Iklan
Muhammad Khalil

KUALA TERENGGANU - Beberapa ajaran yang telah diwartakan sesat di Terengganu kini dalam proses pemantauan dan risikan oleh kerajaan negeri bagi membendung supaya ia tidak kembali menular dalam kalangan masyarakat.

Antara ajaran yang difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti Negeri Terengganu ialah ajaran Mohib Khouli, Kanzun Makhfiyyan, Ayah Pin serta beberapa lagi ajaran lain yang turut diberi perhatian.

Iklan
Iklan

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kesemua ajaran itu sentiasa dipantau oleh Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Aduan tersebut telah diambil tindakan sewajarnya berdasarkan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001. Kesemua kes tersebut masih dalam proses risikan dan siasatan.

Iklan

"Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya ajaran tersebut terus disebarkan di Terengganu melalui Seksyen 10 (menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama) atau Seksyen 12 (pendapat yang bertentangan dengan fatwa)," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan dikemukakan Dr Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) mengenai ajaran-ajaran sesat yang wujud di Terengganu selain ajaran Ayah Pin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Selasa.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Muhammad Khalil berkata, kerajaan negeri memandang serius isu ajaran sesat dan telah mengambil beberapa langkah bagi mencegah penularan dalam kalangan masyarakat.

"Langkah membendung ajaran sesat ini penting agar akidah umat Islam terpelihara di samping memperkasakan kegiatan dakwah, kuliah dan pengajian agama untuk memberi kesedaran kepada mereka supaya berwaspada dengan ajaran sesat yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar," ujarnya.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebelum ini mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan ajaran itu diwartakan haram pada tahun 1997.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!