KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Rumah guru di kawasan pedalaman yang usang bukan saja menyentuh hati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan tetapi sekali gus menarik perhatian beliau untuk menyuarakan perkara itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini.
Aliakbar berkata, beliau banyak menerima aduan daripada pendidik di luar bandar termasuk dari kawasan Sipitang.
"Secara spesifiknya daripada guru-guru di Meligan. Saya faham ini adalah tanggungjawab kerajaan pusat. Bagaimanapun, saya ingin menyampaikan hasrat mereka.
"Antaranya rumah guru yang sangat usang, gambar yang dihantar kepada saya memang sangat menyentuh hati. Melihat keadaan ini saya boleh bayangkan bagaimana keadaan kualiti hidup pendidik di luar bandar.
"Ditambah pula sebahagian keadaan jalan yang sangat teruk, sebahagiannya talian komunikasi juga dalam keadaan tidak baik," katanya dalam ucapan dasar kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, Aliakbar berkata, beliau inginِ menarikِ perhatianِ DUN Sabah dengan mencadangkan beberapa perkara untuk membantu golongan pendidik tersebut.
"Guru-guru ini sedang berkorban untuk melahirkan generasi berilmu. Jadi saya ingin mencadangkan beberapa perkara iaitu membaiki rumah yang usang untuk guru.
"Kedua, memberikan elaun tambahan kerana kenderaan mereka selalu rosak bukan sahaja untuk masuk mengajar tetapi juga membawa pelajar untuk sukan atau apa-apa aktiviti luar," katanya.