KUALA LUMPUR - Orang awam diingat untuk tidak menularkan video kejadian nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa, bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi pihak kementerian dan beliau sendiri secara peribadi mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa.
Menurutnya, dengan perasaan dukacita, kejadian ini menimpa dan berlaku semasa latihan raptai untuk sambutan ulang tahun TLDM.
"Kementerian bersetuju menubuhkan Lembaga Siasatan untuk kenal pasti punca kejadian.
"Diharap masyarakat dan orang ramai tidak tularkan video kejadian demi menjaga sensitiviti dan hormati keluarga mangsa serta pada masa sama tidak mengganggu proses siasatan," katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kem Kementah di sini pada Selasa.
Dalam kejadian semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 pada jam 9.32 pagi itu yang bakal disambut 27 April ini, seramai seramai 10 anggota iaitu masing-masing tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM dan tiga
Mohamed Khaled berkata, beliau dan panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ke Lumut untuk mendapatkan maklumat dan laporan berkait insiden terbabit.
Katanya, pihak kementerian akan menyalurkan sumbangan termasuk menenangkan ahli keluarga mangsa.
"Terdapat mangsa ini berpangkalan di Lumut dan ada di Kota Kinabalu, Sabah. Bagi ahli keluarga yang berada di Sabah, kita akan bawa mereka ke sini (Lumut).
"Bantuan lain akan menyusul kemudian mengikut kebiasaan,” katanya.
Kata beliau, pihak kementerian akan menyiapkan laporan interim berhubung kejadian itu dalam masa terdekat tetapi ia mungkin akan ambil masa.
"Ada di antara mangsa terbabit sudah dikenal pasti dan ada juga sedang dalam proses kenal pasti.
"Setakat ini, kita belum lagi mendapat maklumat individu lain yang cedera dalam kejadian itu (susulan serpihan helikopter di kawasan berhampiran).
"Difahamkan satu helikopter terhempas di kawasan kolam renang, manakala sebuah lagi helikopter terhempas di kawasan stadium," katanya.
Mengulas adakah penganjuran hari ulang tahun TLDM akan dihentikan, beliau berkata, perkara itu dalam pertimbangan.
"Saya percaya ia akan dipertimbangkan kerana itu adalah program yang telah disusun oleh TLDM," katanya.
Tambahnya, mengenai butiran dan maklumat mangsa, pihak kementerian akan memaklumkan terlebih dahulu kepada semua keluarga terlibat bagi menghormati mereka.
Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; BM TNL Noor Rahiza Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.
Dari pesawat Fennec pula dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!