PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan 55 tangkapan melibatkan 69 kes pelbagai kesalahan dalam Op Khas Pagar Laut 1/2024 fasa tiga yang berakhir pada 16 April lalu.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, tangkapan itu melibatkan 37 kes di bawah Akta Perikanan 1985.
"Sebanyak tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, sembilan kes Akta Imigresen 1959/63, tiga kes Akta Kastam 1967, tujuh kes Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
"Lapan kes di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, serta satu kes masing-masing di bawah Kanun Keseksaan, Akta Kawalan Padi Beras," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Saiful Lizan berkata, berdasarkan jumlah tersebut, keseluruhan tangkapan yang telah berjaya dibuat sempena Op Khas Pagar Laut 1/2024 adalah sebanyak 121 kes dengan anggaran nilai rampasan adalah hampir RM9 juta.
"Operasi berkenaan diteruskan bagi fasa empat iaitu dari 17 April sehingga 30 April dengan mengukuhkan kawalan keselamatan di laut terutamanya di setiap titik panas seluruh negara selepas sambutan Aidilfitri.
"Kita menumpukan kepada semua aktiviti jenayah rentas sempadan terutama kes melibatkan pendatang asing tanpa izin, penyeludupan kontraband serta penyeludupan barang-barang kawalan di sempadan perairan seluruh negara," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!