Nahas helikopter TLDM: 'Kita jumpa kali terakhir dah ni'

Iklan
Noryani menunjukkan gambar kenangan yang diambil tiga beradik semasa meraikan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

SIK - Kakak sulung kepada salah seorang mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak menyangka menu berlauk ikan masin dan telur goreng yang diminta, menjadi kenangan terakhir bersama mangsa.

Noryani Tamadun, 50, berkata, adiknya, Pegawai Waran II, Muhammad Faisol, 36, ada membuat permintaan menu yang diinginkan kerana mengatakan itu kemungkinan permintaan terakhir dari beliau.

Iklan
Iklan

"Arwah kata kita ambil gambar bertiga dulu, nanti takut seorang hilang, kakak balik (polis) akan ganti, dia kata mungkin ini gambar terakhir kita, saya pun rasa pelik kenapa dia cakap seorang akan hilang, masa nak balik pun dia cakap kita jumpa 'last' dah ni, hari ini semuanya terjawab," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung dekat sini, pada Selasa.

Gambar kenangan Muhammad Faisol (berdiri, tengah) ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Menurutnya, adik bongsu dari empat beradik itu sangat rapat dengan semua adik-beradik dan sempat meminta kuih siput kegemaran untuk dibawa pulang ke Sabah ketika pulang bercuti selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Iklan

Adiknya pulang awal seminggu ke Kedah untuk beraya dan bertolak pulang semula ke Sabah pada hari raya kedua untuk bertugas.

"Dia memang minat tentera laut... selepas Tingkatan Lima, hanya sempat masuk sekejap Tingkatan Enam dan terus terima tawaran tentera laut," katanya.

Iklan

Jelas Noryani, adiknya ada memaklumkan terlibat latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, selain meminta mereka sekeluarga untuk hadir, namun ditolak sebab jarak yang jauh.

"Saya terkejut pagi tadi, pada pukul 10.15 pagi, saya baru balik berniaga nasi lemak, adik perempuan yang bertugas di Pahang telefon dan bagitau adik bongsu saya meninggal dalam nahas tu... terduduk juga la saya masa tu, memang tak sangka," katanya.

Gambar kenangan Muhammad Faisol (kanan) bersama Noryani dan seorang lagi adik-beradik, Mohd Tarmizi, 45, ketika meraikan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Menurutnya, ibu mereka, Fatimah Abdullah meninggal dunia pada usia 68 tahun, Ogos tahun lalu manakala ayahnya, Tamadun Osman meninggal dunia Januari tahun lalu pada usia 70 tahun.

Allahyarham Muhammad Faisol meninggalkan seorang isteri, Nor Syuhada, 36, yang merupakan seorang guru dan dua orang anak perempuan berusia 10 dan enam tahun.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah helikopter terlanggar bahagian belakang sebuah lagi helikopter sebelum kedua-dua pesawat berkenaan terjunam.

Difahamkan insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan pada Mei depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!