Tiada kes sorok minyak masak peket seperti tular - KPDN Johor

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan insiden minyak masak paket bersubsidi di sebuah pasar raya di Iskandar Puteri.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Tiada aktiviti menyorok minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) seperti didakwa menerusi video tular yang berlaku di sebuah pasar raya di Iskandar Puteri, baru-baru ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya mengambil maklum video mengenai video tular itu dan mengarahkan anggota penguat kuasa ke pasar raya berkenaan.

Iklan
Iklan

Jelasnya, berdasarkan keterangan pengurus pasar raya dan pemantauan dilakukan, tiada unsur sorokan atau dakwaan mengutamakan warga asing membelinya minyak masak peket berbanding rakyat tempatan.

"Selain itu, pasar raya berkenaan turut mengakui hanya menerima 240 peket minyak masak bersubsidi.

"Jumlah itu bagi KPDN sangat sedikit berbanding premis yang besar dan dikunjungi ramai pembeli," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Sebelum itu tular video berdurasi dua minit lapan saat didakwa mempertikaikan warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi berbanding rakyat tidak dapat membeli barangan itu.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata, pengadu sewajarnya membuat laporan terus kepada KPDN.

Iklan

"Jika hanya ditularkan, kita bimbang bukti yang ada akan dihapuskan sesetengah pihak seterusnya menyebabkan penguat kuasa gagal menemui bukti berlaku aktiviti penyorokkan atau salah laku berlaku," ujarnya.

Beliau menegaskan KPDN sentiasa memantau isu minyak masak peket bersubsidi memandangkan banyak aduan berhubung barangan keperluan itu sukar diperoleh pengguna.

"KPDN Johor telah bertemu dengan 20 syarikat pembungkus minyak masak peket di negeri ini dan mereka jaminan untuk memastikan bekalan barangan itu sentiasa mencukupi," katanya.

Pada Januari lalu, Menteri KDPN Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi, namun mereka tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!