Lebuhraya Pan Borneo Sabah: RM651 juta pampasan kepada pemilik tanah

Iklan
Projek Lebuhraya Pan Borneo. Foto Bernama

KOTA KINABALU - Sebanyak RM651 juta jumlah pampasan telah dibayar kepada 1,591 pemilik tanah dan struktur yang terlibat dalam pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pembayaran pampasan hingga 2019 itu melibatkan 12 pakej di bawah seliaan Rakan Penyampai Projek (PDP).

Iklan
Iklan

"Pakej-pakej itu termasuk menaik taraf jalan dari Sindumin ke Kampung Melalia, Kampung Melalia ke Beaufort, Beaufort ke Bongawan, Bongawan ke Papar, Papar ke Donggongon, Putatan ke Inanam, Inanam ke Sepanggar dan Sepanggar ke bulatan Berungis.

"Ia turut merangkumi pembinaan jalan dari Pituru ke Rampayan Laut, menaik taraf jalan dari Tawau ke Semporna (Pakej Satu, Fasa Dua), membina jalan Lahad Datu Bypass dan menaik taraf jalan dari Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berhubung jumlah keseluruhan pampasan dan pemilik tanah yang telah dibayar bagi setiap pakej di bawah PDP projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Shahelmey berkata, setakat 1 April lepas, sebanyak RM1.147 bilion pampasan telah dibayar kepada mereka yang terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Iklan

Beliau berkata, jumlah pampasan tanah dan struktur di Sarawak rendah berbanding di Sabah kerana koridor jalan sedia ada di negeri itu adalah selebar 100 meter, tetapi koridor sedia ada di sini selebar 30 meter sahaja.

Katanya, secara dasar pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak adalah untuk menaik taraf Jalan Persekutuan utama sedia ada, namun Jalan Persekutuan itu hanya ada satu lorong dua hala yang kemudian dinaik taraf kepada dua lorong dua hala.

"Maka ia melibatkan pengambilan tanah yang lebar.

"Dalam pengambilalihan tanah, Sarawak kurang pampasan berbanding dengan Sabah.

"Ia melibatkan bukan sahaja mengambil alih tanah, tetapi pembayaran ganti rugi rumah-rumah ataupun struktur-struktur yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, maklumat terperinci akan diberikan secara bertulis selepas mendapat informasi daripada Jabatan Tanah dan Ukur Negeri. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!