KELANA JAYA - Taktik menyembunyikan rokok putih seludup dalam kotak lampu laman bagi mengaburi mata pihak berkuasa akhirnya terbongkar.
Tindakan tersebut berjaya 'dihidu' pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) apabila menahan sebuah kontena bersaiz 12.1 meter di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.
Penolong Ketua Pengarahnya, Norlela Ismail berkata, dalam serbuan pada 2 April jam 4.40 petang itu, sebuah kontena diperiksa kerana disyaki tidak berkastam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 864,000 batang rokok putih cuba diseludup dari negara luar.
"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM864,000 dan melibatkan jumlah cukai serta duti yang dianggarkan sebanyak RM656,640.
"Rokok putih tersebut diletakkan di dalam bekas lampu laman bagi mengaburi pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Zon Tengah Unit 1 (WPKL) di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Norlela berkata, hasil pemeriksaan ke atas kontena bersama wakil perkapalan menemukan rokok putih disyaki tidak berkastam yang mana pengimportannya memerlukan lesen import dan setem cukai.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat dalam 'bill of lading', dagangan tersebut diikrarkan sebagai lampu laman dari negara jiran.
Namun begitu katanya, wakil perkapalan gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan tersebut.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk minuman keras di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, pada 21 Mac jam 9.15 malam.
Menurutnya, pemeriksaan rapi sebuah kontena menemukan 4,030 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM21,000.
Katanya, jumlah cukai dan duti yang terlibat dengan rampasan itu dianggarkan berjumlah RM51,610.
"Modus operandi yang digunakan adalah membuat pengikraran tidak benar iaitu menyatakan barangan sebagai tuala.
"Namun tuala dan beberapa barangan lain diletakkan di hadapan kontena, sebaliknya minuman keras tanpa cukai disorokkan di bahagian belakang kontena," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!