JAKARTA – Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia pada Isnin mengetepikan tuntutan dikemukakan pasangan calon (Paslon) No. Siri Satu yang tewas Pilihan Raya Presiden 2024 (Pilpres) pada Februari lalu setelah mereka mendakwa ia dicemari penipuan undi.
Kiraan undi rasmi dilakukan Komisi Pemilihan Umum (KPU) diumumkan pada 20 Mac lalu menunjukkan kemenangan berpihak kepada Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan pasangan regunya, Datuk Bandar Solo, Gibran Rakabuming Raka.
Difahamkan, petisyen itu menuntut pemilihan tersebut diadakan semula dan mahkamah membatalkan kelayakan Prabowo-Gibran.
Mahkamah Konstitusi itu turut menolak tuntutan Paslon No. Siri Tiga, Ganjar Pranowo dan Mahfud MD yang mengemukakan tuntutan secara berasingan atas alasan kedua-dua kandungan dokumen itu adalah sama.
Peguam Anies-Cak Imin juga mempersoalkan bantuan sosial secara besar-besaran yang diberikan ketika tempoh berkempen yang didakwa memberi manfaat kepada paslon yang 'rapat' dengan Presiden Joko Widodo atau Jokowi.
Hakim bagaimanapun menafikan dakwaan bantuan sosial itu memberi sebarang kelebihan kepada keputusan undi.
Isu kelayakan Gibran yang merupakan putera sulung Jokowi untuk bertanding turut dipersoalkan paslon yang tewas, namun mahkamah tersebut mempertahankan status beliau sebagai Wakil Presiden (Wapres) yang dipilih adalah hasil keputusan pilihan raya dan bukannya lantikan terus. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!