SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada Selasa.
Menurutnya, kemalangan udara yang melibatkan dua helikopter itu meragut nyawa 10 anggota ketika menjalankan raptai sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.
"Innalillahi wainna ilahirojiun. Saya berdukacita mendengar berita kemalangan udara itu pada hari ini.
"Al-Fatihah kepada seluruh anggota TLDM beragama Islam dan takziah kepada anggota bukan Islam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Pada jam 9 pagi tadi, dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhempas selepas bertembung di Pangkalan TLDM ketika sesi latihan sempena Hari Terbuka Armada TLDM melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, maklumat awal terdapat 10 mangsa berada dalam kedua-dua helikopter itu semasa kejadian dan tiada mangsa yang dilaporkan selamat.
Tambah Muhyiddin, pihak berkuasa sedang berusaha sebaik mungkin untuk membantu mempermudahkan segala urusan yang berkaitan tragedi berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!