SHAH ALAM -"Bila dapat tahu berita nahas helikopter pagi tadi, terus saya hubungi rakan baik saya, Farah tapi tak sangka dia antara mangsa yang terkorban," kata M Shahril Hanifah.
M Shahril berkata, dia cuba hubungi rakannya, Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy yang mesra dipanggil Farah sekitar jam 12.30 tengah hari untuk mengetahui kejadian sebenar, namun tidak dijawab.
Namun, dia tidak menyangka rakannya itu antara mangsa terkorban apabila melihat gambar yang dikongsi di media sosial.
"Awal kejadian itu saya tidak tahu siapa mangsa. Apabila pagi tadi lihat di Facebook, terus saya cuba hubungi Farah (arwah) untuk ketahui apa yang terjadi.
"Panggilan tidak berjawab, rupanya dia (Farah) ada dalam helikopter itu waktu kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Tambah M Shahril, dia dan arwah merupakan rakan Skuadron 501 TLDM di Lumut, namun dia berhenti pada 2019 sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan.
Mengulas lanjut, katanya, Allahyarhamah Farah merupakan antara sahabat baiknya yang banyak membantu dalam tugas.
"Dia memudahkan tugas orang, banyak membantu dan peramah.
"Biar pun saya sudah bukan anggota TLDM, dia sering doakan anak saya bila lihat paparan di status WhatsApp saya. Dia sangat baik," ujarnya.
Dalam kejadian pada Selasa, semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 pada jam 9.32 pagi di Pangkalan TLDM Lumut, Perak itu yang bakal disambut 27 April ini, seramai seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!