KALANGAN negara terkemuka dalam ruang kewangan Islam di blok ASEAN seperti Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama dalam sektor perbankan dan takaful memandangkan prospek teknologi kewangan (fintech) dan kewangan Islam dilihat lebih cerah, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Beliau berkata, di samping mengekalkan bidang kuasa dan kerangka yang berbeza, masih sentiasa ada skop untuk pengharmonian dan penstandardan dalam sektor perkhidmatan kewangan untuk mencapai kelancaran yang lebih tinggi.
"Perkhidmatan kewangan merentas negara terutama penerimaan produk merentas negara yang berbeza akan menjadi lebih lancar (menerusi pengharmonian dan penstandardan).
"Bagi mencapai hal ini di peringkat penerimaan global adalah sesuatu yang mencabar, namun kita boleh bermula di ASEAN,” katanya semasa sesi panel bertajuk SEA’s Next Big Fintech Export: Islamic Finance di Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini, pada Selasa.
Beliau berkata justeru, kerajaan Malaysia dijangka mencadangkan cara untuk mengukuhkan tawaran kewangannya termasuk teknologi kewangan Islam sebagai antara agenda apabila negara ini menjadi pengerusi Asean tahun depan.
"Oleh itu, saya berpandangan kita boleh bersama dan mengukuhkan kewangan Islam di ASEAN secara keseluruhan dari segi tawarannya memandangkan sudah ada beberapa kumpulan kerja yang meneliti aspek pengawalseliaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Adnan Zaylani berkata, Malaysia mempunyai kerangka keseluruhan dengan kalangan bank sedia ada boleh bekerjasama dalam teknologi kewangan Islam kerana segmen itu menawarkan banyak peluang untuk melengkapkan sektor kewangan.
Pada 2022, BNM memberikan lesen bank digital kepada lima pemohon yang berjaya seperti diluluskan Kementerian Kewangan termasuk dua pemohon bagi bank digital Islam.
"Bank digital ini perlulah kesemuanya mengenai pendigitalan dan kami membenarkan operasi bukan digital yang sangat minimum kerana jangkaan adalah untuk menjadi digital terutamanya.
"Justeru, teknologi kewangan Islam mempunyai banyak tawaran untuk melengkapkan operasi itu dan bank digital,” katanya.
Beliau berkata, rangkaian produk untuk perkhidmatan kewangan Islam pada masa ini merangkumi hampir kesemuanya yang ditawarkan oleh kalangan bank konvensional.
Bukan sahaja dalam memenuhi keperluan malah juga untuk membuat perbezaan dari segi meningkatkan rangkuman kewangan dan produk dalam ruang kewangan sosial serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus, katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!