LUMUT - Kementerian Pertahanan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung kejadian helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu selain menjaga sensitiviti dan menghormati ahli keluarga mangsa terlibat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media semasa melakukan lawatan ke tempat kejadian pada Selasa.
Ditanya adakah semua acara latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 mengikut prosedur operasi standard (SOP), Mohamed Khaled memberitahu, perkara itu masih dalam siasatan dan hanya akan dijawab selepas menerima laporan lengkap.
Katanya, sebanyak tujuh helikopter TLDM terlibat dalam latihan itu yang memasuki hari keempat.
Beliau memberitahu, semua jenazah yang maut dalam insiden itu telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
"Hospital Angkatan Tentera Lumut telah menguruskan dengan baik dan jenazah akan dihantar ke Hospital (HRPB) Ipoh.
"Selepas itu jenazah dikebumikan mengikut perancangan ditetapkan keluarga masing masing," tambah beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!