LUMUT - Seorang guru tidak menyangka kejadian melibatkan 10 kru yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada Selasa melibatkan ibu kepada salah seorang muridnya.
Perkara itu diketahuinya selepas anak sulung anggota TLDM, Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar Nor Rahiza Anuar, 39, memaklumkan kepada guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Hijrah, Teluk Muroh ketika mengambil adik bongsunya untuk dibawa pulang.
Guru yang mahu dikenali sebagai Ira, 38, berkata, dia terkejut melihat seorang remaja perempuan datang dengan keadaan menggeletar ketika mengambil adik perempuan yang berusia enam tahun.
"Sekitar jam 10.30 pagi itu, kakaknya datang mengejut kata nak ambil Nur Qistina Afiya. Sempat kami tanya kenapa berikutan keadaan dia menggeletar dan menahan sebak.
Menurutnya, kali terakhir dia melihat Nor Rahiza adalah pada Isnin ketika wanita itu menghantar anaknya ke pusat asuhan berkenaan.
"Semalam saya nampak maknya ketika hantar anak bongsu. Apabila tahu kejadian ini, kami terkejut dan masih terbayang senyuman mak dia datang ambil anak.
"Selain ibu, Nur Qistina Afiya ada dua kakak dan seorang abang yang bergilir-gilir hantar atau ambil dia di sini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!