DAP senarai pendek 10 calon PRK KKB, nama terpilih diumum esok

Iklan
Sze Han

SHAH ALAM - Sepuluh nama calon berpotensi disenarai pendek oleh DAP dan individu yang terpilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan diumumkan esok.

Pengarah Pilihan Raya Kecil Pakatan Harapan (PH), Ng Sze Han berkata, calon yang dipilih akan dimuktamad pada mesyuarat kepimpinan tertinggi pakatan itu yang dijadualkan berlangsung malam ini.

Iklan
Iklan

"DAP mempunyai senarai panjang mereka yang layak bertanding dan daripada 10 individu yang disenarai pendek, terdapat calon daripada kaum Melayu selain Cina dan India.

"Malam ini, kepimpinan tertinggi akan memutuskan calon paling sesuai dan diyakini dapat menyambung legasi khidmat cemerlang Mendiang Lee Kee Hiong yang menjadi wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu selama tiga penggal," katanya pada majlis Aidilfitri anjuran media Selangor di sini hari ini.

Iklan

Mengakui setiap pilihan raya mempunyai risiko dan cabaran tersendiri, Sze Han yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor berkata, pemilihan calon yang betul akan memudahkan gerak kerja kempen dalam usaha mengekalkan pencapaian cemerlang PH, khususnya DAP, di kerusi itu.

"PRK ini bukan kempen DAP dan PH sahaja tetapi ia adalah pilihan raya yang menyaksikan kita berkempen atas nama Kerajaan Perpaduan yang turut didukung UMNO... dengan gabungan kekuatan serta pengalaman yang dimiliki, kita yakin akan mendapat sokongan daripada penduduk dan juga pengundi," katanya.

Iklan

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu adalah PRK ketujuh selepas PRU15 dengan enam daripadanya dilaksanakan tahun lepas iaitu Parlimen Kuala Terengganu (Ogos), Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram (September), DUN Pelangai (Oktober), DUN Jepak (November) dan Parlimen Kemaman (Disember). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!