SHAH ALAM - Dakwaan warga asing cuba merampas pekerjaan rakyat Malaysia tidak benar, malah disifatkan sebagai pelengkap terhadap mana-mana perkhidmatan yang kekurangan kakitangan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata, analisis yang dilakukan mendapati bahawa kebimbangan tersebut tidak berasas.
Menurutnya, rakyat Malaysia yang berpendidikan menjadikan lebih ramai warganegara terlibat dalam perkhidmatan berkemahiran, jadi pekerjaan yang kosong sememangnya akan diisi pekerja asing.
"Bagi pekerjaan rendah, kita dapati di mana-mana sektor di setiap negeri akan ada tambahan dua rakyat Malaysia yang bekerja bagi setiap nisbah 10 pekerja asing.
"Kebanyakannya berumur 30 tahun ke atas dan tanpa pendidikan tinggi. Analisis terperinci mengenai perkara ini akan dikeluarkan,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, pekerja migran sering dipersalahkan kerana mengambil kerja daripada rakyat tempatan dan menerima gaji yang menyedihkan.
Tegasnya, pekerja migran itu adalah pelengkap dan bukan sebagai pengganti kepada warga tempatan.
"Kebimbangan mereka bahawa warga asing melemahkan mata wang ringgit juga adalah tidak benar.
"Sudah tentu, kiriman wang telah meningkat dari semasa ke semasa tetapi nisbah aliran keluar kiriman kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menurun sejak 2016,” jelasnya.
Selain itu, Apurva memaklumkan bahawa kadar kemiskinan menurun, namun masih mempunyai 16,000 miskin tegar di negara ini.
Menurutnya, sasaran pembasmian kemiskinan yang lebih bercita-cita tinggi diperlukan terutama dalam menangani kemiskinan makanan yang boleh menjejaskan golongan miskin.
"Kemiskinan mutlak yang direkodkan sebanyak 6.2 peratus lebih tinggi daripada tahap pra-pandemik iaitu 5.6 peratus.
"Malah, ia diburukkan lagi oleh nilai ringgit yang lemah. Jadi, ia menutupi pandangan terbaharu tentang pertumbuhan pekerjaan dan kemiskinan,” katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!