Freedom Flotilla: Negara kuasa besar melobi Turkiye supaya batalkan misi

Iklan
Beberapa negara kuasa besar didakwa terus melobi Kerajaan Turkiye untuk membatalkan misi 'Break the Siege: Freedom Flotilla to Gaza' bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

ISTANBUL - Beberapa negara kuasa besar didakwa terus melobi Kerajaan Turkiye untuk membatalkan misi 'Break the Siege: Freedom Flotilla to Gaza' bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dijadualkan berlepas pada 24 April 2024 (Rabu).

Ahli Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, delegasi dari beberapa negara berkenaan kini berada di Ankara, Turkiye untuk mengadakan pertemuan dengan wakil tertinggi kerajaan negara itu.

Iklan
Iklan

"Jadi spekulasi adalah mereka sedang memberi tekanan kepada Kerajaan Turkiye dan kita tahu mereka kini berada dalam tekanan bagi membenarkan pelayaran ini diteruskan,” katanya ketika ditemui di Fatih, Istanbul pada Selasa.

Untuk itu, wakil tertinggi Insani Yardim Vakfi (IHH) yang merupakan penganjur bersama FFC akan mengadakan pertemuan dengan wakil tertinggi Kerajaan Turkiye di Ankara petang ini (Selasa).

Iklan

Ia antara lain bagi menilai adakah misi yang dirancang akan ditangguhkan atau dibatalkan disebabkan asakan kuat negara kuasa besar ini.

"Apa pun segala keputusan akan bergantung kepada perbincangan yang akan berlaku pada petang ini melibatkan pimpinan tertinggi IHH dengan wakil Kerajaan Turkiye di Ankara,” katanya lagi.

Iklan

Pada Jumaat, FFC mengumumkan telah menghantar wakil mereka bagi mengadakan pertemuan dengan wakil tertinggi Kerajaan Turkiye di Ankara bagi memastikan kelancaran pelepasan kapal-kapal terlibat dalam misi ini.

Misi pelayaran yang dijadualkan belayar ke Laut Mediterranean pada 21 April (Ahad) lepas, ditangguhkan kepada 24 April (Rabu).

Masalah teknikal pada kapal yang terlibat menjadi antara punca mengapa berlaku penangguhan dalam misi itu.

Terkini, 18 warga Malaysia menyertai masyarakat awam antarabangsa untuk belayar menaiki flotila bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.

Mereka terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.

Antara pengamal media Malaysia yang menyertai flotila itu ialah penulis yang juga wartawan penyiaran daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof dan jurukamera Bernama TV, Mohammad Nulhakim Jailan.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April untuk persiapan akhir sempena misi 'Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024' itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!