PETALING JAYA - Polis telah merakam keterangan tiga saksi berkaitan pemilikan bagasi berisi wang tunai kira-kira RM500,000 bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, kesemua tiga individu itu telah tampil untuk dirakam keterangan pada Isnin.
"Kita telah selesai merakam keterangan tiga saksi itu, semalam (Isnin)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Sabtu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ketiga-tiga individu terbabit adalah rakan kepada pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan kayu balak.
Polis menunggu tiga saksi itu tampil untuk dirakam percakapan, namun mereka memberikan alasan berada di luar negara.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber wang terbabit yang didakwa untuk digunakan bagi perniagaannya.
Sebelum ini, Hussein mengesahkan seorang pengarah syarikat kayu balak sudah tampil memberi keterangan kepada polis pada 30 Mac selepas mendakwa bagasi terbabit adalah miliknya.
Pengarah syarikat itu mendakwa bagasi mengandungi wang itu diambil dari rumah rakannya yang ingin memulangkan wang dipinjamkan tahun lalu untuk tujuan pelaburan.
Bagaimanapun, individu terbabit tidak membawa sebarang rekod dan bukti yang mengatakan wang terbabit adalah milik syarikatnya semasa keterangannya direkodkan.
Pada 21 Mac lalu, media melaporkan satu bagasi berisi wang lebih RM500,000 di tempat meletak kenderaan di sebuah pusat beli-belah oleh pihak pengawal keselamatan pusat beli-belah terbabit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!