KOTA BHARU - Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, akan didakwa di Mahkamah Kota Bharu di sini pada Rabu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1, disambung reman selama lima hari lagi.
Reman terhadap Hafizul dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Bharu, bermula esok sehingga Sabtu iaitu 27 April.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Sambungan reman itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Pada Isnin, suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan bersama pistol di hadapan sebuah hospital swasta di Jalan Bayam, Kelantan.
Hafizul ditahan di lokasi yang hanya beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada jam 3 petang.
Terdahulu, Ahad lalu, suspek bertindak nekad melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena individu lain dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Mangsa yang merupakan seorang pengawal peribadi itu parah akibat terkena tembakan berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!