SEGAMAT - Pemergian anak dalam insiden nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada pagi Selasa, dianggap sebagai wira.
Mohamad Borak, 71, pasrah dengan kejadian yang menimpa anaknya, Komander Muhamad Amir Mohamad, 44, yang merupakan antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas tragis itu.
Menurutnya, Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada sembilan beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan cukup ceria menyambut Aidilfitri bersama isteri dan tiga orang anaknya di kampung.
"Saya juga bekas askar wataniah dan apabila rakan-rakan tanya tentang (perasaan) saya ketika ini, saya cuma jawab 'anak saya wira negara.
"Arwah banyak membantu menanggung keluarga terutama perbelajaan adik-adik yang bersekolah sebelum ini.
"Sikap mengambil berat membuatkan arwah begitu rapat dengan adik-beradik.
"Kali terakhir bertemu pada Syawal lalu, memang arwah periang dan berjumpa rakan-rakan serta saudara-mara.
"Sikapnya membuatkan kami sekeluarga terasa kehilanganya," katanya ketika ditemui di Felcra Bukit Kepong di sini pada malam Selasa.
Sementara tinjauan di rumah keluarga mendapati jiran dan saudara-mara mula menziarahi keluarga sejak petang.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong pada pagi Rabu.
Muhamad Amir yang juga Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM merupakan juruterbang pesawat Fennec yang terlibat nahas ketika mengikuti latihan sempena hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut bersama Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!