SHAH ALAM - Cadangan penamatan skim pencen penjawat awam, rasionalisasi subsidi dan pemberian bantuan secara bersasar adalah antara agenda yang perlu diteruskan oleh kerajaan demi rakyat.
Pengerusi Biro Pekerja Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, perkara berkenaan adalah sebahagian daripada bentuk agenda reformasi di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Siapa kata reformasi tidak relevan, langkah kurang popular yang dibawa oleh Perdana Menteri itu adalah agenda reform (reformasi).
"Jadi kepada yang tidak setuju, buka pemikiran seluasnya mengapa sesuatu keputusan itu dibuat,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri 437 ’25 Tahun PKR: Reformasi VS Persepsi’ yang disiarkan secara langsung di platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.
Program tersebut dihoskan oleh Ismail Adnan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim dan Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik UTM, Dr Mazlan Ali yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.
Beliau berkata, sebagai contoh Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan memang wajib penjawat diberikan pencen kerana kemampuan (kerajaan) ada ketika itu,
"Sebab itu saya cadangkan kalau perlu (untuk mansuhkan skim pencen), maka kena pinda Perkara 147 itu.
"Kalau Perkara 147 perlu dipinda dua pertiga di Parlimen, begitu saraan 1980 di bawah Akta 227 perlu dirombak dengan majoriti mudah bagi meletakkan skim pencen kepada skim EPF.
"Beritahu saya negara mana yang amalkan sistem pencen sekarang ini, semua dah tak amalkan,” tegasnya.
Abdullah Sani berkata, kerajaan terpaksa memperuntukkan RM130 bilion setahun untuk membiayai pencen.
"Pemansuhan pencen ini satu langkah yang bijak kerana kita hendak selamatkan 1.8 juta orang yang menerima skim pencen kerana 13 juta rakyat negara hidup dengan selesa dengan buat potongan melalui EPF.
"Ini sebenarnya tidak beri bebanan malah beri kelebihan yang banyak kepada yang ambil skim EPF, kalau 13 juta tidak mudarat, kenapa 1.8 juta rasa berasa gundah gulana.
Mengulas lanjut mengenai keputusan kerajaan memberi tempoh interim tiga tahun sebagai pekerja kontrak sebelum diserap kepada jawatan tetap penjawat awam, Abdullah Sani berkata, ia adalah salah satu kebijaksanaan perdana menteri.
"Saya lawan minta daripada tiada tempoh, jadi 14 tahun sekarang ini.
"Betapa mulianya, PMX bagi tiga tahun interim kalau kerja bagus, anda akan terus akan dilantik ke jawatan tetap,” katanya
"Daripada 14 tahun jadi tiga tahun interim, sejak merdeka kerajaan inilah paling prihatin sekali.
Berkenaan isu pekerja asing di negara ini, beliau berkata setiap tahun negara memperuntukkan RM3.5 juta kepada warga asing.
"Rakyat Malaysia perlukan penambahan pendapatan, jadi RM10 bilion subsidi itu pulangkan kepada rakyat wajar dilaksanakan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!