ISU banjir sehingga hari ini dilihat masih gagal diatasi dengan baik.
Mana tidaknya, Merak Jalanan sendiri berhadapan dengan cabaran bertugas di sekitar Selangor, malah melalui sendiri kawasan banjir itu dengan menaiki motosikal.
Berdasarkan pemerhatian, antara lokasi tumpuan yang sering dilaporkan banjir seperti daerah Klang, Shah Alam dan Sungai Buloh.
Setiap kali hujan lebat melanda, pastinya air akan naik dan menjejaskan beberapa laluan utama di kawasan terbabit.
Sudah tentu lokasi akan jadi sesak dan pasukan bertugas seperti bomba dan polis terutamanya akan melaksanakan tugas sebaiknya bagi mengawal keadaan ketenteraman awam.
Boleh kata setiap kali musim hujan, penduduk di kawasan yang sering terjejas akan siap sedia, malah sudah lali apabila sering kena pindah di pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketika Merak Jalanan menemu bual penduduk di lokasi terjejas, mereka berharap pihak berwajib tangani isu ini selaras dengan kemajuan pembangunan.
Penduduk memberitahu sistem perparitan lemah kerana dakwanya pembangunan meningkat, tapi perparitan semakin mengecil.
Bagi Merak Jalanan, kelemahan sistem urbanisasi akan mengakibatkan mana-mana tempat akan berdepan dengan kesulitan apabila bencana melanda.
Malah kos yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan juga tinggi untuk proses baik pulih sebarang kerosakan infrastruktur.
Kesimpulannya, pihak berwajib perlu mengambil langkah sebaiknya untuk tangani isu banjir sebaiknya kerana ia bukan semata akibatkan kerosakan harta benda, malah babitkan kehilangan nyawa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!