PINTU keluar buat Erik ten Hag semakin terbuka luas selepas peminat Manchester United hilang sabar dengan taktikal pengadil dari Belanda itu.
Peminat sebelum ini menganggap ten Hag sebagai perosak reputasi The Red Devils susulan persembahan hambar sejak membimbing kelab tersebut pada 2022.
Persembahan 'memalukan' ketika United bergelut menumpaskan Coventry City di separuh akhir Piala FA pada Ahad lalu, menambahkan lagi kemarahan peminat dan meningkatkan gesaan supaya ten Hag dipecat pada akhir musim ini.
Sebelum ini, peminat menuntut pemegang suku daripada saham United, bilionair Sir Jim Ratcliff supaya memecat ten Hag akibat kegagalannya membawa kelab tersebut beraksi dalam pertandingan elit Eropah, Liga Juara-Juara pada musim hadapan.
Ten Hag adalah pengendali tetap kelima United sejak Sir Alex Ferguson meninggalkan kelab itu kira-kira 10 tahun lalu.
David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer gagal meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama sejak tahun 2013.
Van Gaal memenangi Piala FA, manakala Mourinho merangkul Piala Liga dan Liga Europa.
Ten Hag pula menamatkan kemarau lima tahun trofi dengan memenangi Piala Liga pada Februari tahun lalu.
Difahamkan, United perlu membayar pampasan berjumlah 15 juta pound (RM86.96 juta) jika mahu memecat ten Hag.
Kontrak ten Hag di Old Trafford yang bernilai 9 juta pound (RM52.18 juta) setahun hanya akan tamat pada musim panas 2025 dan pemilik United, Avram Glazer perlu membayar pampasan jika mahu melepaskannya lebih awal.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!