Kajian hukuman mati mandatori dibentang suku pertama tahun ini

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Hasil kajian Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada suku pertama 2020, demikian menurut jawatankuasa itu.

Jawatankuasa khas itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia komited untuk memastikan hasil kajian dibuat berdasarkan sesi libat urus yang holistik dan efektif.

Iklan
Iklan

"Pandangan daripada semua pihak diambil kira oleh jawatankuasa khas ini termasuk kumpulan kementerian/jabatan/agensi/ badan bukan kerajaan, agamawan Islam dan bukan Islam, keluarga banduan akhir, banduan akhir, keluarga mangsa dan masyarakat umum," jelasnya.

Menurut kenyataan itu, sesi libat urus jawatankuasa khas bersama keluarga mangsa telah diadakan semalam di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri di sini yang bertujuan memberi peluang kepada keluarga mangsa menyatakan pandangan mereka terhadap cadangan kerajaan.

Iklan

"Dalam hal ini jawatankuasa khas bukan mengadakan sesi libat urus semata-mata untuk memenuhi keperluan pihak-pihak tertentu.

"Jawatankuasa khas komited serta memberi fokus terhadap setiap pandangan dan input yang diterima sepanjang sesi libat urus agar isu sebenar dapat dianalisis untuk diambil tindakan oleh kerajaan," katanya.

Iklan

Jawatankuasa itu menegaskan bahawa setiap pandangan dan input daripada semua pihak adalah penting untuk memastikan cadangan yang akan dibentangkan kepada kerajaan adalah komprehensif dan demi memantapkan polisi penghukuman di Malaysia.

Jawatankuasa itu juga menjelaskan bahawa pemansuhan hukuman mati tidak bermaksud hukuman mati dimansuhkan sepenuhnya di Malaysia.

"Sebaliknya hukuman mati masih wujud dan boleh dijatuhkan sekiranya mahkamah berpandangan bahawa hukuman tersebut wajar berdasarkan fakta dalam sesebuah kes," jelasnya.

Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori ditubuhkan kerajaan pada 29 Ogos 2019 bertujuan melaksanakan semakan dan kajian secara menyeluruh berkaitan polisi penghukuman untuk menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman yang lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara mahkamah. - Bernama