RINGGIT meningkat semula pada sesi dagangan awal hari ini berikutan dolar AS merosot selepas data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) S&P kurang menggalakkan.
Pada jam 9.05 pagi, ringgit naik kepada 4.7730/7780 berbanding dolar AS daripada 4.7785/7820 pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) susut daripada 106.077 mata kepada 105.675 mata semalam berikutan data mengenai sentimen pembuatan dan perkhidmatan Amerika Syarikat (AS) yang merosot pada April.
Indeks PMI untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan AS, masing-masing jatuh kepada 49.9 daripada 51.9 pada Mac dan kepada 50.9 daripada 51.7 pada Mac.
"PMI pembuatan AS merosot di bawah paras 50 mata buat kali pertama sejak Januari lepas selepas ia kekal melebihi 50 mata selama tiga bulan berturut-turut.
"Ia mencerminkan permintaan akhir merosot, menyebabkan sebahagian pengeluar mengekalkan lebih banyak inventori,” katanya.
Data terkini meningkatkan risiko penurunan hasil bon AS dan seterusnya boleh memberi tekanan kepada dolar AS.
Oleh itu, ringgit akan mencatatkan prestasi yang menggalakkan berikutan dolar AS yang rendah, dengan tumpuan seterusnya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) awal AS pada suku pertama dan data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) pada Mac untuk mengukur prospek kadar faedah pada masa depan.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0829/0864 daripada 3.0863/0887 pada Selasa, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.9457/9520 daripada 5.9067/9110 dan berbanding euro kepada 5.1114/1168 daripada 5.0944/0981 sebelum ini.
Ia turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.
Mata wang tempatan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9364/9545 daripada 12.8887/9037 semalam, berbanding dolar Singapura kepada 3.5083/5122 daripada 3.5066/5095 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.32/8.33 daripada 8.31/8.32.
Ia naik berbanding rupiah Indonesia kepada 294.2/294.7 daripada 294.5/294.9 sebelum ini.- Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!