MENDENGAR insiden nahas membabitkan dua helikopter hingga meragut nyawa 10 perajurit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Selasa, hati dirundung sayu dan hiba.
Apatah lagi waris dan ahli keluarga mangsa yang perlu berdepan dengan realiti tersebut.
Sinar Islam Plus mengucapkan takziah kepada seluruh anggota famili mangsa.
Dalam tragedi jam 9.32 pagi Selasa itu, dua helikopter milik TLDM terhempas sewaktu melakukan latihan udara sempena Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung bermula 25 April hingga 5 Mei ini.
Susulan insiden malang tersebut, acara berkenaan dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil.
Ketika kejadian, dua helikopter iaitu jenis HOM (M503-3) dan Fennec M5026 dikatakan berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi. Berdasarkan video tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Akibat pergeselan itu, dua helikopter hilang kawalan sebelum terhempas, masing-masing di Stadium TLDM LUmut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Ekoran itu, ada pihak mengaitkan tragedi berkenaan termasuk dalam kategori syahid akhirat.
Mengulas lanjut tentangnya, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, terdapat dua kategori mati syahid iaitu syahid dunia dan syahid akhirat.
Jelas beliau, syahid dunia merujuk individu yang berperang dan mati di jalan ALLAH SWT, manakala syahid akhirat pula adalah satu kematian yang mana jenazah wajib dimandi dan disembahyangkan, tetapi ada pahala di akhirat kelak.
"Yang datang dalam teks hadis (berkaitan mati syahid), hanya mati beranak, mati lemas, mati terbakar, mati akibat penyakit yang menyerang wabak dalam perut atau mati dihempap batu dan ditindih sesuatu benda yang berat.
"Jadi, serah kepada ALLAH. Siapa nak kata syahid akhirat, ada kebenarannya,” katanya ketika menjawab pertanyaan tentang nahas helikopter itu sebagaimana dijelaskan dalam video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.
Sementara itu, pendakwah Ustazah Asma’ Harun menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa.
"Kalimah al-Hadm juga boleh kita fahami dengan makna himpitan, berlaku pertembungan atau kemalangan,” katanya.
Dalam hadis itu, Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan ALLAH.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dalam pada itu, Asma’ turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sewenang-wenangnya gambar atau video yang terlibat dalam nahas pesawat itu.
"Ketahuilah, haram menyebarkan sebarang gambar atau video yang memberi aib kepada arwah dan menambah kesedihan kepada keluarga mereka.
"Mari kita doakan semoga musibah seperti ini tiada lagi kemalangan jiwa yang berlaku. Sungguh, ujian ini sangat berat untuk dilalui. Semoga mangsa yang telah pergi dikurniakan husnul khatimah dan tergolong bersama golongan yang beriman serta beramal soleh,” titipnya.
Insiden pesawat terhempas itu mengorbankan Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin dan Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi.
Turut terkorban, Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan (juruterbang Skuadron 502); Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502); Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun (Kuartermaster Udara Skuadron 503); Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna daripada Markas Udara TLDM; Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) dam Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat).