SHAH ALAM - Punca sebenar nahas helikopter mengorbankan 10 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu dikenal pasti segera kerana melibatkan pesawat baharu dan sebuah lagi jenis sama pernah terhempas.
Ahli Parlimen Tanah Merah merangkap Ketua Biro Portfolio Pertahanan Perikatan Nasional, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, ia susulan kekerapan insiden kemalangan pesawat jenis AW139.
"Saya amat berharap punca sebenar kemalangan udara ini dapat dikenal pasti dengan seberapa segera mengambil kira kepentingan kesiagaan aset pertahanan milik TLDM.
"Kekerapan insiden kemalangan pesawat jenis AW139 amat merisaukan saya sebagai pemerhati luar. Bagaimanapun saya tidak berhasrat membuat sebarang spekulasi sebaliknya tetap sabar menanti hasil siasatan lembaga siasatan yang ditubuhkan oleh TLDM," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu berhubung insiden dua helikopter bergesel di udara sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak ketika menjalani raptai untuk kali ketiga bersempena sambutan Hari Terbuka Armada TLDM.
Nahas tersebut telah menyebabkan 10 anggota TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah maut.
Pada 5 Mac 2024, helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terhempas di 5 batu nautika berhampiran Pulau Angsa ketika melakukan latihan menyelamat.
Empat penumpang termasuk juruterbang dilaporkan selamat dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu.
Sementara itu, pada 27 Februari 2020, helikopter Agusta Westland AW139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa enam anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) terhempas di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan Air Panas, Tawau.
Kesemua anggota pasukan keselamatan itu selamat dengan hanya seorang cedera.
Mengulas lanjut, Ikmal Hisham berkata, sebuah lagi pesawat yang terlibat relatifnya baharu iaitu jenis AS 555 SN (Fennec) yang tidak pernah mengalami sebarang kemalangan sejak digunakan bermula 2004.
Tambah beliau, tindakan pantas pihak TLDM untuk menubuhkan Lembaga Siasatan Kemalangan Udara bagi menyiasat kemalangan itu sangat dialu-alukan dan disambut baik.
"Saya yakin terhadap ketelusan dan keupayaan lembaga siasatan tersebut dalam mengenal pasti punca kejadian malang berkenaan bagi mengambil kira kepentingan kesiagaan aset pertahanan milik TLDM.
"Semoga semua pihak bersabar dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang spekulasi bagi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa.
"Saya ucapkan takziah kepada semua ahli keluarga 10 mangsa anggota TLDM yang terlibat," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!