PETALING JAYA - Seorang maut dan enam lagi cedera apabila kereta dinaiki terlibat dalam satu kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 458.6 Lebuhraya Utara-Selatan di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, kejadian tersebut menyebabkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun maut selepas tercampak keluar dari kereta.
Beliau berkata, pelajar perempuan kolej swasta itu menaiki sebuah kereta bersama dua rakan menuju ke arah Sungai Buloh dari Subang.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku jam 8.40 malam semasa kereta jenis Honda City dinaiki mangsa bersama dua individu yang juga pelajar kolej swasta hilang kawalan ketika cuba memotong kereta jenis Toyota Vios.
"Honda City berkenaan memotong dari bahagian kiri dan hilang kawalan ketika cuba masuk semula ke lorong kanan selepas selesai memotong," katanya pada Rabu.
Menurutnya, akibat tidak sempat mengelak, Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun melanggar Honda City yang terbabas, seterusnya melanggar pembahagi jalan.
Katanya, ekoran pelanggaran itu, Honda City tersebut berpusing serta memasuki lorong kedua sebelum dirempuh oleh kereta dan sebuah motosikal yang tidak sempat mengelak.
"Mangsa yang maut serta kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat serta mendapat rawatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!