PERSOALAN mengenai bulu kucing bersifat najis atau tidak hangat diperdebatkan warganet dalam media sosial beberapa hari kebelakangan ini.
Ada yang menyatakan bulu kucing itu najis dan ada yang menafikannya. Jadi, siapa yang betul dalam hal ini?
Jawapan najis atau tidak bulu kucing tersebut dijawab oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam rencananya yang bertajuk Al-Kafi #1969: Adakah sah solat jika ada bulu kucing melekat pada pakaian?
"Ia (kucing) haiwan yang suci kerana sifatnya suka berkeliaran di sekitar manusia.
"Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ia (kucing) bukanlah najis kerana ia adalah haiwan yang berkeliaran di sekitar kamu.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
"Menurut Ar-Ruyani, hadis di atas menjelaskan kepada perbezaan kesucian antara kucing dan anjing. Kucing dianggap haiwan yang suci kerana sering berkeliaran di sekitar manusia manakala anjing dianggap najis kerana bukan tergolong dengan sifat demikian,” hurainya.
Menurutnya lagi, Imam An-Nawawi turut menyebutkan bekas air (baki air yang diminum) oleh kucing adalah suci dan harus untuk digunakan.
"Seterusnya perbahasan tentang status kesucian bulu binatang adalah bersandarkan kepada jenis binatang tersebut sama ada ia daripada golongan yang halal dimakan atau tidak.
"Jika bulu yang gugur atau tercabut daripada haiwan yang tidak boleh dimakan seperti kucing dan keldai, atau daripada haiwan yang boleh dimakan selepas ia mati, maka hukumnya adalah najis seperti dijelaskan Imam Al-Ghamrawi,” jelasnya.
Oleh yang demikian katanya, dapat disimpulkan bahawa bulu kucing yang terpisah sama ada ketika hidup atau mati adalah najis kerana ia merupakan haiwan yang tidak boleh dimakan.
"Justeru, perlu dibersihkan pakaian yang terkena bulu-bulu kucing apabila seseorang ingin mendirikan solat.
"Bagaimanapun, di sisi Mazhab Syafie, bulu-bulu kucing yang sedikit, melekat pada pakaian adalah termasuk dalam najis yang dimaafkan (al-ma’fuwat) seperti dinyatakan Imam Al-Khatib Asy-Syirbini:
"Dimaafkan bilangan yang sedikit secara adat (uruf) bulu-bulu yang najis haiwan selain daripada anjing,” katanya.
Berdasarkan kepada soalan yang dilontarkan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberitahu, jika hanya beberapa helaian yang melekat pada pakaian ketika sedang solat, maka solatnya sah dan tidak perlu diulang kembali kerana ia merupakan najis yang dimaafkan.
Sementara itu dalam isu yang sama, pendakwah, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, para ulama menyatakan bilangan bulu kucing yang dikira sedikit dan dimaafkan adalah dua helai.
"Pendapat muktamad bilangan yang sedikit adalah dua helai. Lebih daripada dua helai dikira banyak.
"Jadi, kita sebagai orang awam dibolehkan mengikut qaul daif,” katanya.