LUMUT - Penduduk daerah Manjung mengakui masih terkejut berikutan insiden dua helikopter berlanggar di ruang udara dan terjatuh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini pagi Selasa.
Rata-rata penduduk menyatakan rasa sedih dan dukacita berhubung kejadian itu yang disifatkan kemalangan paling menyedihkan di kawasan terbabit.
Seorang penduduk, Fendy Shah Nayan, 52, berkata, penduduk daerah itu sebelum ini teruja melihat formasi penerbangan di ruang angkasa sejak Isnin lalu.
"Namun semua itu menjadi mimpi ngeri kepada keluarga mangsa apabila 10 mangsa terkorban dalam nahas itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Fendy Shah memberitahu, sehari sebelum kejadian, pernah terlintas di fikirannya jika berlaku sesuatu tidak diingini membabitkan helikopter yang sedang membuat latihan.
"Selepas saya menghantar anak sekolah, saya balik ke rumah untuk berehat seketika, tetapi tidak tidak dapat melelapkan mata disebabkan bunyi bising helikopter melintas ruang udara.
"Tiba-tiba saya terfikir, jika helikopter jatuh ke bumbung atau berdekatan rumah, mungkin nyawa kami dalam bahaya, namun keesokannya (Selasa) saya terkejut menerima berita dua helikopter berlanggar dan terhempas," ujarnya.
Menurut Fendy Shah, kejadian itu disifatkan menyedihkan penduduk terutama mereka yang menetap di Kampung Dato' Seri Kamaruddin, Manjung.
Ujarnya, penduduk kampung itu sebelum ini menetap di Kampung Batu Gajah, Lumut sehingga tahun 1974 dan kini kawasan itu menjadi milik sepenuhnya Pangkalan TLDM Lumut.
Seorang lagi penduduk, Mohd Bakhid Alwi, 55, berkata, kejadian berlaku semasa dia sedang berjoging kira-kira jam 8.30 pagi di Padang Astaka Setiawan, pada Selasa.
Menurut Mohd Bakhid, penduduk yang berada di padang itu sempat menyaksikan helikopter membuat latihan sebelum berlepas ke Pangkalan TLDM Lumut.
Seorang lagi penduduk, Daud Nordin, 55, berkata, sememangnya dia dan keluarga tidak mahu melepaskan peluang setiap kali helikopter melintas ruang udara kediamannya di Manjung.
Katanya, pesawat melintas di ruang udara membuat formasi hanya dapat disaksikan setahun sekali sempena Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada April.
"Kami biasa melihat helikopter melintas, namun jumlahnya tidaklah sebanyak semasa latihan ini dijalankan.
"Kami turut bersedih dan bersimpati dengan nasib menimpa mangsa terkorban dan ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang," tambah beliau.
Dalam kejadian 9.30 pagi Selasa, dua helikopter yang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas.
Nahas itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM yang berlepas dari Padang Astaka Sitiawan, Perak.
Pesawat HOM-AW139 terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.