Penolong pegawai penguat kuasa KPDN didakwa tipu kurangkan kadar kompaun

Iklan
Penolong pegawai penguatkuasa KPDN cawangan Timur Laut, Mohd Zaimi Sham Mahmood, 50, didakwa di Mahkamah Sesyen pada Rabu atas tuduhan menipu membantu mengurangkan kadar kompaun bagi kesalahan berhubung Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122). Foto Bernama

BUTTERWORTH - Seorang penolong pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki untuk membantu mengurangkan kadar kompaun, hampir dua tahun lepas.

Bagaimanapun Mohd Zaimi Sham Mahmood, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Iklan
Iklan

Tertuduh didakwa sebagai penolong pegawai penguat kuasa KPDN (sebelum ini dikenali Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna - KPDNHEP) menipu K Sivapragasam, 45, untuk mempercayai Jawatankuasa Rayuan Kompaun di Ibu Pejabat KPDNHEP Putrajaya menolak rayuan kompaun.

Dia didakwa boleh membantu mengurangkan kadar kompaun bagi kesalahan berhubung Akta Kawalan Bekalan 1961 sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM3,000.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Persiaran Bayan Indah, Daerah Barat Daya dekat sini antara 5.35 petang hingga 5.50 petang pada 13 Mei 2022 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 29 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport sehingga kes selesai serta melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam V Parthipan. - Bernama