MB Perlis serah siasatan kes anak kepada SPRM

Iklan
Mohd Shukri (kiri), Laporan Sinar Harian pada Rabu

KANGAR - Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyerahkan kepada budi bicara dan kebijaksanaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan membabitkan penahanan anak lelakinya.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis, memaklumkan beliau mengetahui mengenai penahanan reman melibatkan salah seorang anaknya bersama lima yang lain pada pagi Rabu.

Iklan
Iklan

"Setakat itu sahaja respons saya pada hari ini berkaitan isu berkenaan,” katanya ringkas ketika ditemui di sini pada Rabu.

Media melaporkan anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Iklan

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan perintah reman terhadap kesemua suspek bermula Rabu sehingga Khamis selepas mendapat permohonan SPRM bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut sumber, turut ditahan dua penjawat awam di Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, dan selebihnya merupakan kontraktor syarikat.

Iklan

Suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar Perlis.

Keenam-enam suspek berusia antara 26 hingga 37 tahun ditahan antara 7 pagi hingga 8 pagi Selasa sekitar Perlis bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, siasatan dilakukan berhubung kesalahan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Keseluruhan projek berkenaan melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.

Sementara di Putrajaya, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!