GEORGETOWN - Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, mangsa tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas pada Selasa tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah berbual mesra seperti biasa ketika bertemu ibunya sehari sebelum kejadian.
Ibu Allahyarham, Indon Hussin, 60, berkata, dia dan suami, Ramli Abd Hamid, 60-an datang ke rumah anak sulung daripada tujuh beradik itu di Manjung, Perak pada Isnin dan ia merupakan kali terakhir mereka sekeluarga bertemu.
"Allahyarham memiliki rumah di Manjung kerana bertugas di sana sebelum berpindah ke Sabah dua tahun lepas. Kunci rumah di Manjung itu ada pada mak cik dan pak cik... kami akan ke sana sebulan sekali untuk melihat keadaan rumah.
"Pada Isnin mak cik ke sana (Manjung), kebetulan Muhammad Firdaus baru tiba dari Sabah. Sebaik tiba dia terus ke rumah untuk bertemu kami, tiada sebarang perubahan padanya.
"Dia berbual mesra seperti selalu dan sempat peluk serta berpesan supaya hati-hati balik (ke Pulau Pinang)," katanya kepada pemberita di rumahnya di Pantai Jerejak di sini pada Rabu.
Indon turut menyifatkan Muhammad Firdaus yang juga Pegawai Memerintah Skuadron 503 sebagai sangat baik dan bertanggungjawab kepada keluarga selain seorang abang yang tegas, namun penyayang terhadap adik-adiknya.
Menurut Indon, dia juga berkesempatan menyambut Aidilfitri baru-baru ini bersama Muhammad Firdaus sekeluarga di Manjung pada Syawal ketiga dan keempat.
Walaupun Muhammad Firdaus tinggal di Sabah, Allahyarham sering menelefonnya dan ahli keluarga lain untuk bertanya khabar serta berkongsi cerita antara satu sama lain.
Muhammad Firdaus yang dikenali 'Tuan Kecik' dalam kalangan rakan sekerjanya kerana saiz badan yang kecil, juga katanya sememangnya berminat menjadi juruterbang.
Indon berkata, proses pengecaman jenazah Muhammad Firdaus pada Selasa dilakukan adiknya, Muhammad Fairuz yang kemudian memaklumkan jenazah dalam keadaan sempurna dengan hanya terdapat luka pada dahi serta calar pada muka.
Indon berkata, isteri, Muhammad Firdaus dan anak lelakinya berusia empat tahun telah diterbangkan dari Sabah ke Ipoh, Perak petang Selasa, manakala jenazah Muhammad Firdaus akan dibawa terus ke Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini untuk urusan pengebumian.
Sementara itu, tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong di sini mendapati anggota pasukan TLDM sedang membuat persiapan pengebumian seperti memasang khemah manakala kerja-kerja menggali liang lahad selesai sebelum tengah hari tadi.
Muhammad Firdaus antara 10 anggota dan pegawai TLDM yang maut dalam tragedi dua helikopter terhempas pada jam 9.32 pagi semalam ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Terbuka TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!