IWK diiktiraf peneraju SDG6 global

Iklan

SYARIKAT pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menerima pengiktirafan sebagai salah satu daripada empat peneraju utama dalam Sustainable Development Goal 6 Pledge (SDG6) sempena Persidangan Air Global 2024 di London, United Kingdom.

Pengiktirafan itu sekali gus membuktikan dedikasi serta kemampuan IWK mencetuskan impak global sekali gus meletakkan syarikat itu dalam senarai empat teratas daripada 300 pemimpin pengurusan sektor air global (inisiatif peneraju air) yang mencapai matlamat SGD6 2030.

Iklan
Iklan

Selain IWK, tiga lagi syarikat lain iaitu Phnom Penh Water Supply Authority dari Kemboja, National Water And Sewerage Corporation (Uganda) dan Sanepar dari Brazil turut menerima pengiktirafan yang sama.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan kejayaan IWK itu menandakan satu tanda aras penting bagi syarikat dan negara secara keseluruhan.

Iklan

"Adalah sesuatu yang menyuntik inspirasi kepada semua apabila menyaksikan Malaysia melangkah ke pentas global, bergandingan bahu dengan pemimpin dari industri utiliti di seluruh dunia.

"Pengiktirafan yang telah dicapai IWK ini pastinya menyemarakkan lagi komitmen sedia ada dalam menjayakan inisiatif hijau yang lebih mampan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” kata Fadillah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan IWK pada Rabu.

Iklan

Pencapaian tersebut menggariskan peranan penting IWK dalam menyuntik inspirasi serta meningkatkan kesedaran SDG6 pada skala global.

Secara khususnya, ikrar SDG6 IWK adalah sejajar dengan keseluruhan strategi pelan perniagaannya, yang merangkumi inisiatif seperti memperluaskan perkhidmatan pengurusan air sisa kumbahan di Semenanjung Malaysia dan Labuan, meningkatkan kadar penerimaan terhadap perkhidmatan nyah enap cemar berjadual dan memupuk inisiatif ekonomi hijau melalui program waste-to-wealth.

Melalui penilaian yang dijalankan oleh Global Water Intelligence, IWK berjaya memenuhi kredibiliti organisasi, perancangan strategi, status pelaksanaan serta kejayaan inisiatif SDG6 yang dijalankan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Global Water Leaders Group, William Muhairwe memuji komitmen IWK melaksanakan ikrar SDG6 yang luar biasa dan berterusan seterusnya berpotensi menjadi penanda aras global pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawawi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan semua pihak berkepentingan serta para pelanggan IWK yang sentiasa menyokong inisiatif yang dilaksanakan syarikat utiliti itu.

"Memandangkan IWK menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun ini, ianya merupakan satu kebanggaan sepanjang khidmat syarikat kepada rakyat Malaysia," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!