GABUNGAN Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) menyambut baik tajaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang memberi manfaat kepada 4,500 penggiat seni.
Presidennya, Pansha berkata, pelbagai manfaat bakal diterima antaranya melalui faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan jenazah, pemulihan dan pinjaman pendidikan.
"GAFEMA menyambut baik langkah Kementerian Komunikasi melalui Finas dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi PERKESO yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyediakan sokongan jaringan keselamatan sosial kepada penggiat seni tempatan bagi permulaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Finas akan menaja 4,500 penggiat seni tanah air di bawah skim itu dengan caruman RM23.30 setiap orang, menjadikan jumlah keseluruhan tajaan bernilai RM104,850.
Menurut Fahmi, inisiatif hasil Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai Kementerian Komunikasi melalui Finas bersama KESUMA menerusi PERKESO itu adalah 10 peratus daripada jumlah caruman SKSPS bernilai RM232.80 setahun yang perlu dibayar oleh setiap pencarum bagi skim perlindungan berkenaan.
Dalam pada itu, GAFEMA menyarankan Kementerian Komunikasi supaya memberi taklimat terperinci mengenai cadangan jaringan keselamatan sosial kepada penggiat seni tempatan bagi memastikan ia tidak tersasar daripada tujuan asal seperti yang pernah dicadangkan kepada Finas.
"Kefahaman caruman PERKESO menjadi prasyarat wajib melalui kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) hanya melibatkan penggiat seni yang terlibat dengan penggambaran.
"Sedangkan ada kategori lain yang perlu dilindungi dan industri juga memerlukan satu pangkalan data setempat industri sebagai rujukan secara dalam talian buat Finas, penerbit dan penggiat seni menyemak tarikh luput tahunan caruman PERKESO pada masa akan datang,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!