SHAH ALAM - Seorang penganggur dipenjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan dua beranak menggunakan parang, bulan lepas.
P Suzendran, 27, bersama-sama A Alagendran dan S Sathiyakumar yang telah dituduh, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita berusia 37 tahun dan anak lelakinya berusia 11 tahun di sebuah kedai makanan segera di Kota Kemuning pada jam 7 pagi, 27 Mac lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Norazlin Othman ketika menjatuhkan hukuman menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai kejam dan memerlukan hukuman setimpal.
Pada prosiding berasingan, Norazlin memerintahkan Suzendran dipenjara tiga tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan merompak wang RM115 milik sebuah kedai serbaneka di Seksyen 23 di sini pada jam 5.25 pagi, 11 April lepas.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan secara berasingan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hosna Mohamad Zikri manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hidhir Mustapa. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!