KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia bekerjasama sekiranya diperlukan dalam siasatan insiden dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas sehingga mengorbankan 10 anggota di Pangkalan TLDM Lumut, Manjung, Perak pada Selasa.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, JBPM telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kementerian Pengangkutan melalui Biro Siasatan Kemalangan Udara terutama nahas udara melibatkan kebakaran.
Menurutnya, sekiranya nahas berlaku disebabkan kebakaran, JBPM akan terlibat dalam siasatan namun dalam kes terbaharu itu sebaliknya.
"Bagaimanapun sekiranya dipanggil membantu, pihak bomba sedia memberikan kerjasama dalam siasatan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat JBPM di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota di sini pada Rabu.
Nor Hisham berkata, sebagai salah satu agensi yang memiliki keupayaan aset helikopter, tragedi itu satu peringatan kepada JBPM.
Menurutnya, perkara-perkara asas keselamatan berhubung penggunaan pesawat sangat kritikal dan penting.
Justeru katanya, protokol antarabangsa yang telah ditetapkan perlu sentiasa dipatuhi.
"Mengambil iktibar kemalangan udara yang pernah berlaku melibatkan dua helikopter agensi ini, JBPM telah memastikan pematuhan kepada standard antarabangsa itu sentiasa diberikan penekanan khususnya kepada latihan kecemasan yang memerlukan latihan simulasi.
"Kita telah selesai proses sebut harga dengan kos RM800,000 untuk menghantar pasukan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menjalani latihan kecemasan udara menggunakan latihan simulasi di sana," katanya.
Beliau berkata, pada November tahun lalu, pasukan pertama melibatkan empat juruterbang telah dihantar menjalani latihan itu.
"Latihan itu penting kerana penggunaan helikopter bagi tujuan kecemasan amat berisiko dan boleh menyebabkan kemalangan.
"Sebab itu JBPM bergantung kepada latihan simulasi dan buat masa ini kita berada pada landasan betul dalam memastikan semua juruterbang bomba mendapat latihan ini," ujarnya.
Sementara itu, Nor Hisham berkata, tempoh latihan unit udara sempena sambutan Hari Bomba Sedunia 2024 peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Ipoh 4 Mei ini ditambah kepada lima hari berbanding tiga hari yang diputuskan sebelum ini.
Menurutnya, ia berikutan terdapat risiko di kawasan sambutan.
"Risiko ini sebenarnya bukan kepada juruterbang tetapi lebih kepada pasukan penerjun yang mengambil bahagian terutama risiko perubahan angin dan cuaca.
"Kita akan lihat kepada situasi latihan pada dua hari pertama sekiranya tiada masalah, terjunan akan diteruskan dan sekiranya arah angin sukar dibaca hingga merisikokan penerjun, kita akan lihat balik sebelum persembahan itu dilaksanakan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!