TAHANAN rumah merupakan alternatif kepada hukuman pemenjaraan di dalam tirai besi, namun tiada sesiapa boleh memohon atau memintanya kerana tiada peruntukan sedemikian dalam sistem undang-undang negara ini.
Buat masa ini kerajaan secara prinsip bersetuju untuk melaksanakan program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sebagai usaha mengurangkan kesesakan di penjara.
PBSL merupakan salah satu keistimewaan diberikan kepada banduan yang layak atas alasan seperti merapatkan hubungan kekeluargaan, mencari peluang pekerjaan dan perancangan masa hadapan selepas dibebaskan kelak
Banduan perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 43 Akta Penjara 1995 (Akta 537) dan juga Peraturan 111 Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Ketika ini terdapat kira-kira 80,000 banduan ditempatkan di 43 penjara seluruh negara dengan kadar nisbah 244 banduan bagi 100,000 penduduk.
Wujud perdebatan mengenai kewajaran tahanan rumah. Ada pihak yang setuju namun wujud juga pandangan sebaliknya.
SOKONG
Sesuai untuk ibu hamil, warga emas
Saya setuju pelaksanaan tahanan di rumah namun dengan syarat-syarat yang ketat. Pihak berkuasa perlu memastikan seseorang banduan itu layak sebelum dibenarkan menjalaninya.
Pada pendapat saya, tahanan di rumah ini amat sesuai untuk ibu mengandung dan warga emas. Ibu yang mengandung perlu menjalani pemeriksaan kandungan dan bayi serta menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan yang agak sukar dilakukan dalam penjara.
Mungkin selepas selesai urusan kelahiran, dalam jarak masa tertentu wanita tersebut perlu kembali ke penjara bagi menghabiskan baki tempoh hukuman ke atasnya.
Begitu juga dengan warga emas yang uzur atau menghidap pelbagai penyakit kronik. Contohnya, seseorang yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan dijatuhi hukum namun usianya begitu lanjut iaitu 81 tahun.
Pada usia sebegitu, keadaan tubuh badannya sudah tidak kuat dan mereka perlu didampingi keluarga untuk menjalani rutin kehidupan.
- Koordinator, Khairul Akmal Barkawi, 41.
Kurangkan kesesakan dalam penjara
Pertama sekali, kita perlu akui negara kita juga menghadapi masalah yang sama seperti banyak negara lain berkaitan sistem penjara.
Ia termasuk dari segi kesesakan, kos perbelanjaan dan isu-isu berkaitan rehabilitasi atau kesihatan tahanan di dalam penjara.
Dalam konteks ini, konsep tahanan di rumah bagi kategori tertentu banduan sangat munasabah untuk dijadikan jalan penyelesaian.
Ia sebagai satu cara untuk mengurangkan tekanan dan perbelanjaan banduan, selain merupakan pendekatan lebih berperikemanusiaan namun ia bergantung kepada kesalahan seseorang banduan itu.
Namun diakui, pelaksanaan tahanan rumah mungkin menimbulkan kebimbangan dan keresahan orang ramai daripada aspek keselamatan.
Adakah kerajaan melalui pihak berkuasa sudah benar-benar bersedia untuk memastikan individu yang diletakkan di bawah tahanan di rumah ini tidak membawa ancaman kepada masyarakat?
Sekiranya persoalan ini ditujukan kepada saya, saya dengan yakin akan berkata, protokol penguatkuasaan di Malaysia sekarang berada pada tahap yang sangat baik.
Pada masa sama, terdapat beberapa kelompangan yang perlu ditutup dengan beberapa penambahbaikan kerana tiada yang sempurna di dalam dunia ini.
Namun kesiapsiagaan pihak berkuasa dilihat sangat efisien, jadi masyarakat tidak perlulah bimbang.
- Jurulatih Bahasa Badan, Zarif Zulkafli, 29.
BANGKANG
Tirai besi menginsafkan pesalah
Individu yang membuat kesalahan sewajarnya menjalani hukuman di dalam penjara dan mereka perlu reda dengan keadaan itu.
Biarkan sahaja banduan dalam penjara supaya orang ramai tidak perlu khuatir dikelilingi banduan yang ditahan di rumah.
Kehidupan di sebalik tirai besi akan menginsafkan banduan. Saya bimbang banduan yang menjalani tahanan di rumah menjejaskan orang di sekelilingnya.
Sekiranya dilaksanakan dan banduan dikehendaki memakai alat peranti pemantauan elektronik, saya berpendapat ia tidak begitu efektif dan menimbulkan pelbagai isu.
Jika ia tidak berfungsi dengan baik, saya bimbang banduan yang ditahan di rumah akan keluar berkeliaran sesuka hati mereka.
Jadi, seeloknya mereka teruskan menghabiskan tempoh hukuman di dalam penjara untuk mengelakkan lebih banyak perkara tidak diingini daripada berlaku.
- Bekerja sendiri, Siti Fatimah Rosmi, 31.
Bimbang ulang kesilapan sama
Pada pendapat saya, bukan semua orang boleh terima banduan berada di rumah walaupun darah daging sendiri.
Boleh dikatakan, kebanyakannya ahli keluarga banduan berasa malu dan terpalit dengan pandangan negatif masyarakat sekeliling.
Justeru, kehadiran banduan tahanan rumah pastinya akan membebankan seisi rumah.
Lebih baik jika pesalah terus di penjara dan kembalilah ke pangkuan keluarga selepas selesai menjalani hukuman untuk memulakan hidup baharu.
Kita tidak mahu mereka berasa selesa jika ditahan di rumah dan mengulangi kesalahan sama pada hadapan.
Janganlah kerajaan ingin menyelesaikan isu kesesakan dalam penjara namun rakyat pula terpaksa berdepan pelbagai masalah kelak.
- Jurutera, Mohd Hazizi Jemiran, 34.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!