BULAN Syawal belum habis lagi tetapi sudah ada yang sibuk buat persiapan raya Aidiladha pula, lagi-lagi bab dekorasi rumah dan warna pakaian sedondon satu keluarga.
Ada juga ya yang agak rumit dalam dekorasi raya Aidilfitri dan Aidiladha, perlu tampil berbeza. Itu antara sembang saudara penulis ketika mereka berkunjung ke kediaman penulis di sini, meriah betul rasanya.
Katanya itulah kehidupan ‘mak-mak’ tidak kisahlah suri rumah atau berkerjaya, fikirannya lebih jauh ke depan, namun jauh sangat ya. Tersenyum dengarnya.
Tetapi apa yang menarik perhatian adalah luahannya mengenai barangan terpakai, tidak kisahlah pakaian, perabot, perhiasan dinding, kasut, permainan kanak-kanak, perkakasan rumah, peralatan muzik dan basikal.
Katanya ramai pengguna kini memilih barangan terpakai bukan sahaja untuk berjimat lagi-lagi ekonomi sekarang yang tidak menentu tetapi juga dapat mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari.
Penulis juga penggemar barangan terpakai tetapi bukan semualah, ia bergantung kepada kualiti dan harganya yang bersesuaian.
Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, teruja membeli televisyen murah, saiz 32 inci dengan harga RM300 jenama terkenal yang diimport dari negara jiran tetapi ‘setting’nya berbeza pula sampaikan tidak boleh guna pun, dek malas merumitkan situasi penulis pulangkan semula di kedai berkenaan.
Barangan terpakai ini kalau betul pilihannya memang cantiklah dekorasi rumah, memakai pakaian terpakai ataupun ‘bundle’ juga nampak segak dan cantik jika pandai menggayakannya, janji ‘poket’ okey.
Nanti leka bergaya barangan mahal tidak sempat hujung bulan sudah buat ‘loan’ dengan mak ayah.
Tidak enaknya pula ada kata-kata sinis mengenai barangan terpakai ini, lagi menambah ‘perasa’ apabila ada yang mendakwa barangan terutamanya perhiasan seperti lampu lama, cerek lama, rantai dan alat muzik tradisional dikhuatiri ada unsur mistik. Ah sudah, berhantu pula rumah ya?
Bagi pandangan penulis sendiri, kalau sudah rasa lain macam meremang tidak perlulah teruskan niat membeli, sebab banyak lagi hiasan lain yang boleh dibuat hiasan. Tidak perlu susahkan diri sendiri.
Berbalik kepada barangan terpakai, secara amnya ia bukan sahaja murah, ada kualiti dan tidak membazir wang malah memberi peluang kepada semua golongan untuk memiliki keinginan menghias, memakai pakaian bersih dan elok masih boleh direalisasikan.
Bagaimanapun, barangan seperti ini juga umpama syurga buat sesetengah orang sehingga ada yang sanggup mengumpulkannya sebelum diagihkan kepada yang memerlukan.
Seperti di Temerloh, Pahang minat dengan aktiviti kebajikan sejak remaja menyebabkan seorang suri rumah melakukan aktiviti mengumpul pakaian dan barangan terpakai untuk diagihkan kepada golongan memerlukan sejak enam tahun lalu.
Suri rumah itu, Nur Farhanna Kamal, 29, memberitahu, selain pakaian, antara yang kerap diterima termasuk telekung, cadar, kasut, barangan bayi, mainan dan beg.
Dia juga merancang untuk menyediakan kaunter khas supaya orang ramai yang datang lebih selesa untuk memilih barangan diperlukan.
Mungkin ada pandangan berbeza bagi mereka yang tidak meminati barangan seperti ini dan memilih untuk menggunakan barangan baharu kerana lebih berbaloi daripada terpakai.
Itu adalah hak masing-masing dan mungkin juga ada sebab lain susulan ada nilai tersendiri, namun yang pastinya bagi penulis ia berbaloi untuk sesetengah barangan selain barangan elektrik, tetapi apa pun kena ‘tepuk dada, tanyalah dompet dahulu’, jika tidak guna sahaja apa yang ada asalkan kemas, bersih dan wangi.
* Norafidah Assan ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan
p>Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!