KUANTAN - Sebanyak 9,848 kenderaan telah diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang sepanjang 18 hari Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) di negeri ini yang berakhir 20 April lalu.
Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, dalam tempoh itu sebanyak 13,233 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Menurutnya, tindakan sitaan dilakukan ke atas 253 kenderaan terdiri daripada 202 motosikal dan selebihnya kenderaan persendirian serta lori.
"Kesalahan tiada lesen memandu mencatatkan kes tertinggi dalam Ops Khas HRA ini dengan 3,486 saman, diikuti kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (2,236 saman) dan kesalahan tiada insurans (1,912 saman).
"Kesalahan melibatkan motosikal paling banyak dikesan dengan 4,804 motosikal telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan," katanya melalui kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.
Kamarul Iskandar berkata, menerusi operasi itu juga, JPJ Pahang telah melakukan pemeriksaan ke atas 772 Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di depoh dan terminal bas.
"Operasi yang dilaksanakan dengan kolaborasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu, seramai 71 pemandu bas telah menjalani saringan air kencing dan tiada kes positif dikesan.
"Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas ke atas kesalahan utama turut diberikan perhatian dalam Ops HRA pada kali ini dan sebanyak 387 kes dikesan.
"Antaranya tidak memakai topi keledar (144 kes), memotong di garisan berkembar (86 kes), tidak memakai tali pinggang keledar (84 kes), langgar lampu merah (46 kes ) dan memotong barisan (27 kes)," jelasnya.
Tambah beliau, Ops Khas HRA 2024 terbahagi kepada lima fokus penguatkuasaan iaitu Ops Motosikal, Ops Kesalahan Utama, Ops KPA, Ops Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) dan Ops Teknikal.
"Seramai 135 pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ terlibat sepanjang operasi di negeri ini.
"Penguatkuasaan ini juga melibatkan kerjasama daripada rakan kolaborasi strategik antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK," ujarnya.
Sementara itu katanya, JPJ Pahang memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pemilik atau pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.
"Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!