BARU-BARU ini Perdana Menteri Finland, Sanna Marin menyarankan minggu bekerja singkat bagi membolehkan para pekerja meluangkan lebih banyak masa di rumah bersama keluarga.
Pemimpin negara berusia 34 tahun yang baru dilantik pada Disember tahun lalu itu mahu pekerja memiliki keseimbangan yang lebih baik dalam aspek pekerjaan dan kehidupan.
Menurut laporan New Europe, Marin bukan sahaja menyasarkan empat hari bekerja dalam seminggu, malah beliau turut menimbangkan tempoh bekerja enam jam sehari.
"Saya percaya pekerja layak meluangkan lebih masa bersama keluarga dan insan tersayang selain menguruskan aspek lain dalam kehidupan. Ini mungkin langkah seterusnya untuk kita dalam kehidupan bekerja," kata Marin seperti yang dilaporkan beberapa rangkaian berita antarabangsa.
Mencari keseimbangan sesuai antara kerja dan kehidupan seharian merupakan cabaran yang dihadapi golongan pekerja dan keluarga seringkali menjadi 'mangsa' keadaan.
Keupayaan menggandingkan kerja, komitmen keluarga dan kehidupan peribadi adalah amat penting demi kesejahteraan semua ahli keluarga dalam sesebuah isi rumah.
Persoalan mengenai waktu bekerja singkat dan kesannya terhadap produktivi pekerja bukanlah sesuatu yang baharu dan teori kualiti melawan kuantiti menjadi isu yang diperdebatkan.
Waktu kerja Mexico paling panjang
Menurut laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang dianggotai 38 negara antaranya negara termaju dunia seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara pesat membangun lain mendapati daripada segi jam bekerja, Mexico mempunyai waktu kerja terpanjang diikuti Costa Rica dan Korea Selatan sementara Jerman, Denmark dan Norway merupakan negara dengan waktu kerja tersingkat pada tahun 2017.
Secara purata rakyat Mexico bekerja lebih kurang 2,257 jam setahun berbanding rakyat Jerman yang hanya bekerja 1,363 jam setahun.
Analisis OECD, sebuah organisasi antarabangsa yang bekerja untuk membentuk dasar yang mampu memupuk kemakmuran, kesamaan, peluang dan kesejahteraan ramai itu mengambil kira jumlah jam bekerja setahun dibahagi dengan purata bilangan orang yang bekerja.
Ia merangkumi jam kerja biasa pekerja sepenuh masa, sambilan dan separuh tahun, jam kerja lebih masa yang dibayar dan tidak dibayar serta jam bekerja pekerjaan tambahan.
Perbezaan jam bekerja mungkin ditentukan oleh budaya dan beberapa faktor sosial lain, ia juga boleh dipengaruhi oleh dasar tertentu. Di Korea Selatan misalnya, pekerja bekerja lebih 2,000 jam setahun.
Berdasarkan analisis terbabit didapati negara dengan waktu kerja panjang tidak semestinya menjadi negara paling produktif. Kemajuan teknologi dan Revolusi Industri turut memainkan peranan membentuk situasi produktif.
"Rakan sosial boleh dan harus memainkan peranan penting dalam memastikan penyediaan latihan selaras dengan permintaan semasa kemahiran," kata OECD dalm satu laporan.
Produktiviti
Beberapa kajian menunjukkan minggu bekerja yang singkat menjadikan pekerja lebih bahagia dan produktif dan dua pakar yang menghadiri mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland tahun lalu menyokong idea bekerja empat hari seminggu.
Ahli psikologi dari Wharton School di Pennsylvania, AS, Adam Grant berkata, terdapat beberapa eksperimen mendedahkan sekiranya jam bekerja dikurangkan, pekerja mampu untuk fokus secara lebih efektif dan lebih setia kepada organisasi yang fleksibel dalam membenarkan mereka menjaga kehidupan masing-masing di luar waktu kerja.
Sementara itu, ahli ekonomi dan sejarawan, Rutger Bregman yang juga penerbit buku Utopia for Realists bersetuju dan menjelaskan minggu bekerja yang singkat bukanlah sesuatu yang terlalu radikal.
"Pada tahun 1920-an dan 1930-an, terdapat usahawan kapitalis yang mendapati sekiranya minggu bekerja dikurangkan, pekerja akan lebih produktif. Henry Ford misalnya, mendapati sekiranya minggu bekerja dikurangkan dari 60 jam kepada 40 jam, para pekerjanya akan lebih produktif kerana mereka tidak begitu kepenatan ketika masa luang.
Idea bekerja empat hari seminggu juga sudah dilakukan sebuah syarikat hartanah, Perpetual Guardian di New Zealand yang mencuba kaedah itu pada tahun 2018.
Percubaan yang dipantau profesor Pentadbiran Sumber Manusia di Universiti Teknologi Auckland, Jarrod Haar itu mendapati prestasi pekerja melonjak dan mereka lebih menyukai pekerjaan masing-masing berbanding sebelum eksperimen dijalankan.
Pengasas Perpetual Guardian, Andrew Barnes berkata, keputusannya melaksanakan kaedah bekerja itu merupakan langkah tepat selepas melihat kesan positif antaranya penurunan kadar stres dalam kalangan pekerjanya.
Menerusi sebuah buku berjudul The 4 Day Week, Barnes meyakinkan orang ramai bahawa idea bekerja empat hari seminggu sebagai masa depan dunia pekerjaan.
Barnes berpendapat sistem bekerja lima hari seminggu sebagai ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai dalam era serba hiper kini, sebaliknya dengan bekerja empat hari seminggu seseorang itu mampu memiliki produktiviti optimum dan keseimbangan kerja-kehidupan yang memanfaatkan pekerja serta majikan.
Satu perkara yang diketengahkan adalah waktu bekerja yang panjang tidak bermaksud lebih produktiviti.
Negara maju seperti Korea Selatan misalnya berada dalam senarai corot negara OECD untuk produktiviti pekerja meskipun mempunyai waktu bekerja yang panjang.
Jepun yang terkenal dengan budaya kerja melampau sehingga timbulnya kes karoshi (kematian akibat terlebih bekerja) juga tidak mencapai produktiviti dan kini cuba mengurangkan sistem bekerja lebih masa (OT) dengan menggunakan taktik seperti memadamkan lampu setelah tamat waktu bekerja.
Menurut kajian, pekerja biasa produktif selama hampir tiga jam ketika bekerja lapan jam sehari selebihnya pekerja 'diganggu' pelbagai aktiviti tidak produktif yang mengganggu tahap konsentrasi pekerja seperti melayari laman media sosial. Kebanyakan pekerja terganggu setiap tiga minit dan memerlukan purata 23 minit untuk kembali produktif selepas gangguan.
Sosioekonomi, sejarah dan faktor budaya turut memainkan peranan penting dalam menentukan berapa jam pekerja di sebuah negara bekerja ketika minggu biasa.
Di Mexico misalnya, kebimbangan tentang pengangguran, inflasi dan perkembangan ekonomi perlahan bermakna pekerja terpaksa bekerja lebih demi meningkatkan pendapatan.
Sementara itu di Jerman, pekerja berpeluang menikmati keseimbangan lebih baik antara kerja dan kehidupan berikutan budaya yang menekankan kepentingan terhadap masa lapang dan juga kerja. Pekerja di negara Eropah kaya seperti Belanda, Sweden, Austria dan Iceland juga bekerja kurang 1,500 jam setahun secara purata.
Sementara itu, Kajian Tinjauan Sosial Pekerjaan Dunia 2018 oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan negara berpendapatan rendah dan sederhana cenderung bekerja lebih masa berbanding negara lebih maju dan kaya berikutan beberapa faktor termasuk gaji lebih rendah, taraf hidup lebih rendah, keluarga besar dan sosio-budaya.
Waktu kerja di Malaysia
Menurut laporan BBC, sejak Mei 2018, hanya empat peratus negara Asia mematuhi piawaian buruh antarabangsa ILO berhubung waktu bekerja yang mana ada di antaranya telah wujud sejak tahun 1919 dan telah menetapkan maksimum 48 jam untuk minggu bekerja.
Di Malaysia sendiri adakah wajar, sesuai atau boleh waktu kerja singkat dilaksanakan? Ini merupakan persoalan yang perlu difikirkan secara bersama. Secara puratanya kebanyakan syarikat di Malaysia termasuk sektor kerajaan mengamalkan waktu bekerja lima hari seminggu, lapan jam sehari.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Samsuddin Bardan berkata, waktu kerja singkat boleh dilaksanakan jika gaji adalah dikira dan dibayar mengikut jam bekerja sebagaimana diamalkan di kebanyakan negara seperti AS dan UK.
Di Malaysia konsep gaji minimum bulanan menimbulkan banyak kekeliruan kerana pekerja beranggapan walaupun mereka bekerja kurang dari lapan jam sehari dan kurang daripada 48 jam seminggu mereka hendaklah dibayar gaji minima RM1,100 sebulan dan mulai bulan Januari 2020 di 57 kawasan yang diwartakan dalam Perintah Gaji Minima 2020 kadar yang ditetapkan adalah RM1,200 sebulan.
Menurut beliau lagi, majikan akan menanggung kos yang tinggi jika pekerja bekerja dalam waktu singkat dan masih perlu dibayar gaji penuh sebulan.
Waktu kerja singkat akan hanya berjaya dilaksanakan jika ada kefahaman antara pihak pekerja dan penguatkuasa bahawa gaji yang akan dibayar itu adalah berkadaran dengan jam kerja yang sebenar dan bukan berdasarkan gaji penuh sebulan.
Jika kadar gaji sebulan dikekalkan dan pekerja bekerja kurang daripada waktu kerja yang ada sudah tentu majikan akan menanggung kos operasi yang lebih tinggi dan kadar produktiviti akan menurun.
Ditanya adakah Malaysia mampu melaksanakan waktu kerja singkat pada masa depan, Samsuddin berkata, jika kita mengubah konsep bayaran gaji sebulan kepada kadar satu jam bekerja, waktu kerja singkat boleh dilaksanakan bergantung kepada keperluan majikan dan pekerja.