Wanita idah kematian suami tak boleh keluar beraya walaupun ziarah anak

Iklan
TERDAPAT beberapa perkara perlu dipenuhi oleh wanita yang dalam tempoh idah akibat kematian suami antaranya tidak boleh berhias dan wajib berkabung. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

BAGI wanita dalam idah akibat kematian suami, mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah sepanjang tempoh ‘menunggu’ selama empat bulan 10 hari.

Kebanyakan daripada kita cakna tentang fakta tersebut. Namun begitu, dalam suasana menyambut lebaran, bimbang pula jika ada yang ‘terlepas’ menziarahi anak-beranak.

Iklan
Iklan

Barangkali kerana menyangka individu tersebut merupakan ahli keluarga dan kaum kerabat sendiri juga.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, wanita dalam idah wajib menetap di rumah perkahwinan (tempat tinggal mereka suami isteri) dan tidak boleh meninggalkannya melainkan andai ada keperluan serta darurat yang tidak dapat dielakkan.

Iklan

"Sekiranya tiada apa-apa keperluan dan hajat, maka dia wajib menetap di rumah berkenaan.

SELAGI tempoh idah belum tamat, wanita tersebut tidak boleh sama sekali meninggalkan rumah yang mana dirinya dan bekas suaminya tinggal sebelum ini. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Iklan

"Oleh itu, wanita tersebut tidak boleh keluar meninggalkan rumah perkahwinan semata-mata untuk tujuan tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-834: Hukum Wanita Dalam Idah Keluar Rumah Untuk Beraya yang disiarkan dalam laman web pejabat mufti berkenaan.

Selagi tempoh idah belum tamat, artikel itu menyebut, wanita tersebut tidak boleh sama sekali meninggalkan rumah yang mana dirinya dan bekas suaminya tinggal sebelum ini.

"Bahkan, isteri yang kematian suami wajib untuk berkabung iaitu menahan diri daripada berhias-hias dan memakai wangi-wangian, di samping wajib menetap di rumah perkahwinan mereka melainkan terdapat hajat.

"Hajat atau keperluan dimaksudkan adalah keluar mencari makanan dan seumpamanya bagi dirinya memenuhi keperluan hariannya.

"Jika tidak, dia tidak boleh keluar dari rumah tersebut meskipun untuk tujuan menziarahi orang sakit, ziarah-menziarahi, perniagaan atau mengurus pelaburan harta,” jelasnya.

Hukum tinggal di rumah anak

Bagi wanita tua yang kematian suami dan hanya tinggal seorang diri di rumah, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, mereka yang masih dalam tempoh idah tidak boleh keluar untuk menziarahi anaknya.

Namun begitu, katanya, jika hatinya dirundung kesedihan dan sunyi disebabkan kehilangan suami dan memerlukan teman berbual dalam kalangan anaknya sendiri, maka dia boleh ke rumah anaknya yang sangat berdekatan dengan rumahnya (seperti satu kampung atau taman yang sama) tanpa bermalam di situ.

JIKA tiada keperluan dan hajat, wanita dalam idah yang kematian suami tidak boleh keluar dari rumah perkahwinannya meskipun tujuannya untuk menziarahi orang sakit, ziarah-menziarahi, perniagaan atau mengurus pelaburan harta. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

"Bagaimanapun, setibanya di rumah anak, dia tetap tidak dibenarkan keluar tanpa keperluan mendesak seperti berhari raya, menziarahi keluarga atau orang sakit sehinggalah tamat idahnya,” tegasnya.

Meskipun wanita dalam idah tadi diharuskan tinggal bersama anaknya kerana bimbang berlaku kemudaratan atau sakit jika tiada siapa yang menjaganya, tetapi Jabatan Mufti Negeri Pahang mengingatkan, mereka perlu sentiasa mematuhi segala ketetapan-ketetapan syarak sepertimana panduan yang digariskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sepanjang tempoh idah.

Antaranya seperti haram menerima pinangan dan berkahwin lelaki ajnabi, tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas diperlukan sahaja serta wajib berkabung dalam tempoh empat bulan 10 hari.

"Walaupun dilarang berhias diri, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah, mereka diwajibkan menjaga kebersihan dan kekemasan diri, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh idah serta berkabung,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel yang disiarkan dalam laman web Jabatan Mufti Negeri Pahang.