SHAH ALAM - Pemuda MCA menyarankan agar kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak pantas dan tegas terhadap seorang pensyarah warganegara Amerika Syarikat, Bruce Gilley berhubung kenyataanya dalam satu program anjuran sebuah universiti awam semalam.
Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata, ia berikutan kenyataan yang dikeluarkan Gilley bukan sahaja kurang sensitif dan tidak menghormati dasar luar Malaysia, namun seolah-olah mencabar pendirian negara yang konsisten dalam isu konflik Israel-Palestin.
Menurutnya, melalui hantaran di laman X milik Gilley juga, dia dilihat begitu angkuh dan secara terbuka menyatakan bahawa negara yang pemimpinnya menyokong serangan terhadap orang Yahudi tidak berperanan dalam hal ehwal antarabangsa serta tidak layak berkawan dengan Amerika Syarikat.
"Saya yakin pendirian Malaysia dalam isu ini sangat jelas dan konsisten di mana kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel yang menyasarkan rakyat Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian Shati di utara Gaza ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri baru-baru ini.
"Ternyata serangan berterusan oleh tentera Israel ke atas bumi dan rakyat Palestin bercanggah dengan prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
"Rakyat Palestin berhak mendapat negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan kepada sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. Mereka layak hidup dalam bumi sendiri dengan aman dan damai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, bekas Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa pihak Universiti Malaya (UM) tampil menjelaskan kehadiran profesor dipercayai pro-Israel, Bruce Gilley sebagai speaker jemputan ke universiti berkenaan.
Beliau berkata, individu tersebut merupakan seorang Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland.
Ia susulan perkongsian yang dimuat naik di media sosial didakwa akaun milik Bruce Gilley tersebut mendapat kecaman daripada pengguna aplikasi X apabila dia menyatakan bahawa ahli politik negara ini menganjurkan Holocaust kedua terhadap Yahudi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!