PORT DICKSON - Seorang ibu berdepan detik cemas apabila dua anaknya berusia enam dan empat tahun terkunci dalam kereta Perodua Viva di hadapan premis di PD Waterfront di sini pada petang Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.49 petang sebelum bergegas ke lokasi.
Iklan
Iklan
"Sebaik tiba, pasukan operasi membuka pintu kenderaan itu dengan peralatan khas dan mendapati dua beradik itu sedang tidur.
"Mereka dalam keadaan stabil dan selamat serta tidak membahayakan, seterusnya diserahkan kepada ibunya," katanya pada Khamis.
Kejadian itu turut mendapat perhatian dua anggota polis, Koperal Mohd Shukur dan Koperal Mohd Zayd dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.
Kedua-duanya ketika itu sedang membuat rondaan turut memberi bantuan awal bersama orang awam sebelum tindakan pantas pasukan bomba dan penyelamat, menyelamatkan dua beradik berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!