PTSP ke-3 menang anugerah projek terbaik SPAN

Iklan
Pathmanathan (empat dari kiri) menerima anugerah yang disampaikan oleh Fadilah pada Majlis Makan Malam Persatuan Air Malaysia (MWA) 2024 di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerima anugerah projek terbaik untuk projek Saluran Paip Dasar Laut Berkembar ke-3 (PTSP ke-3) Pulau Pinang oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Pathmanathan K berkata, PTSP ke-3 bernilai RM114.3 juta beroperasi pada November 2020.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PTSP ke-3 meliputi projek bekalan air utama yang disiapkan oleh operator air Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk tempoh pandemik Covid-19, 2020 hingga 2022.

"Projek PTSP ke-3 diusahakan oleh PBAPP sebagai respons kepada permintaan air yang tinggi di Pulau Pinang ketika tempoh perubahan iklim.

Iklan

"Ia direka terutamanya untuk menyalurkan sehingga 315 juta liter air terawat sehari (JLH) dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai ke Kompleks Rumah Pam dan Kolam Air Bukit Dumbar di bahagian pulau," katanya menerusi kenyataan di sini pada Khamis.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Makan Malam Persatuan Air Malaysia (MWA) 2024 di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Iklan

Mengulas lanjut mengenai PTSP ke-3, Pathmanathan berkata, projek terbabit memanfaatkan kira-kira 465,000 pengguna air di Daerah Barat-Daya dalam kawasan perkhidmatan yang merangkumi dari Bukit Dumbar ke Balik Pulau.

Jelasnya, pengguna ini termasuk syarikat multinasional (MNC) dan perusahaan kecil sederhana (PKS) di Bayan Lepas dan Batu Maung.

Beliau berkata, PTSP ke-3 mengambil masa kira-kira empat tahun untuk disiapkan dan pengoperasian (dari Oktober 2016 hingga November 2020), dalam tiga pakej.

"Elemen utama PTSP ke-3 adalah di dasar laut atau tanah. Tidak seperti projek infrastruktur bekalan air utama yang lain (seperti empangan dan loji rawatan air), projek PTSP ketiga adalah sebahagian besarnya tidak kelihatan.

"Namun begitu, ia merupakan projek infrastruktur bekalan air utama yang penting yang memberi perkhidmatan kepada pengguna air Pulau Pinang.

"Berjuta-juta liter air terawat dipam ke Pulau Pinang setiap hari melalui PTSP ke-3. Tanpanya, mungkin terdapat isu bekalan air yang meluas di daerah Barat Daya terutamanya semasa musim kemarau yang berpanjangan dan musim cuti puncak apabila permintaan air tinggi," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, PTSP ke-3 juga mengurangkan risiko isu bekalan air di Pulau Pinang semasa musim kemarau yang berpanjangan.

Katanya, pada Mac lalu PBAPP mengepam purata 381 JLH air terawat dari LRA Sungai Dua ke Pulau Pinang melalui 3 set saluran paip dasar laut berkembar termasuk PTSP ke-3.

Ujarnya, pengepaman tambahan air terawat ke pulau itu termasuk sokongan 33 JLH untuk Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) bagi mempertahankan simpanan air rendah Empangan Air Hitam sehingga musim hujan tiba.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!