Geng Bean tumpas, dua termasuk dalang utama diberkas

Iklan
Habibi (dua dari kanan) menunjukkan motosikal curi yang dirampas di IPK Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Sinar Harian-HISYAMUDDIN AYUB.

KUALA LUMPUR - Kelicikan Geng Bean yang aktif mencuri motosikal sejak dua tahun lalu akhirnya tumpas apabila dua suspek termasuk dalang utama diberkas dalam dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Habibi Majinji berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya berjaya menangkap seorang lelaki berusia 33 tahun di Taman Keramat, dekat sini pada jam 11 pagi dan turut merampas empat buah motosikal.

Iklan
Iklan

Susulan penangkapan suspek pertama, pihaknya membuat serbuan kedua di sebuah bengkel di Seremban, Negeri Sembilan.

"Dalam rampasan kedua, pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki berusia 37 tahun dan merampas 10 buah motosikal pelbagai jenis, selain enam lagi motosikal yang telah dileraikan enjin.

Iklan

"Hasil serbuan ini, kita percaya berjaya menyelesaikan 20 kes iaitu sembilan di Lembah Klang dan satu di Pahang, manakala selebihnya dalam siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Khamis.

Habibi (tiga dari kanan) ketika meninjau motosikal curi yang dirampas, di IPK Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Sinar Harian-HISYAMUDDIN AYUB.

Mengulas lanjut, Habibi berkata, suspek pertama yang merupakan 'kepala' Geng Bean mempunyai 17 kes jenayah, 12 kes pelbagai serta lima kes dadah, manakala suspek kedua memiliki empat rekod jenayah, satu kes lain serta tiga kes dadah.

Iklan

Selain itu katanya, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek adalah positif dadah.

Tambah beliau, modus operandi Geng Bean adalah mencuri motosikal di Lembah Klang, seterusnya meleraikan komponen di bengkel di Seremban.

Selain itu menurutnya, komponen yang dicuri itu akan dijual kepada pihak tertentu bagi digunakan untuk perlumbaan haram.

Jelasnya, siasatan kes tersebut masih dijalankan dan dua lagi suspek telah dikenal pasti serta sedang giat diburu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!