GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat beberapa tangkapan lagi, berhubung kes melibatkan anak seorang menteri besar bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tangkapan itu bertujuan membuktikan kesalahan yang berlaku, berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata, kes ini telah diketahui umum dan suspek terlibat telah ditahan semalam serta siasatan masih diteruskan.
"Beberapa pihak-pihak lain juga akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang yang baharu di Bangunan Persekutuan Gua Musang, di sini pada Khamis.
Selain itu, beliau berkata, berkemungkinan permohonan reman baharu bagi kesemua suspek yang ditahan juga akan dibuat, berikutan tempoh masa reman yang diberi tidak mencukupi untuk membolehkan SPRM melengkapkan siasatan awal.
Semalam, anak lelaki seorang menteri besar antara enam direman SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000, sejak dua tahun lepas.
Sementara itu, Azam berkata, SPRM akan menumpukan penyiasatan terhadap isu pembinaan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya, yang bernilai RM25 juta yang melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
"...Untuk makluman semua, sebenarnya pembiayaan datang sebanyak RM25 juta daripada pihak FIFA, bukan duit FAM.
"FAM cuma menjalankan perolehan melalui tender dan sebagainya, dan telah dikemukakan kembali kepada FIFA untuk pemilihan yang terakhir dan pihak FIFA telah bersetuju dengan syarikat yang berkaitan,” katanya.
Azam berkata, isu ini bukan sahaja FAM yang terlibat, malah FIFA juga kerana ia melibatkan duit mereka.
"Oleh itu, bagi memuaskan hati mereka yang membuat tohmahan isu ini, untuk adil kepada semua pihak maka kami siasat isu berkenaan,” katanya.
Azam berkata, SPRM tidak akan mengambil tindakan berhubung permasalahan pentadbiran yang berlaku di dalam organisasi itu.
"Kami tidak akan ambil tindakan berhubung isu-isu pentadbiran sebagai contoh hal gaji, hal itu ini dan sebagainya.
"Kes ini SPRM menganggap sebagai satu kes yang melibatkan kepentingan awam, maka kita telah melihat pada maklumat yang diberikan jadi kita tumpukan kepada satu isu saja,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!