KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 pada Khamis sebulat suara meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat menafikan hak negeri itu untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah negeri itu.
Usul dikemukakan oleh Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Pas- Kota Putera) itu disokong dan dibahaskan oleh Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik); Mohd Yusop Majid (Bersatu-Permaisuri); Zaharuddin Zahid (Pas-Bukit Tunggal) dan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) sebelum sesi penggulungan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Pas-Ru Rendang).
Ahmad Samsuri dalam kenyataan pada Khamis berkata, kerajaan negeri menolak penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012 yang tidak menepati syarat seperti ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.
"Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
"Tindakan kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri merumuskan penggubalan akta ini adalah tidak mengikut perlembagaan dan telah memberikan beberapa implikasi negatif seperti menafikan hak negeri untuk meneroka sumber dan menikmati hasil di dalam kawasan wilayah negeri tersebut serta menyebabkan berlaku percanggahan dan konflik dengan akta-akta lain.
"Kerajaan negeri juga melihat bahawa kerajaan Persekutuan pada hari ini telah memperalatkan Akta Laut Wilayah 2012 untuk menafikan pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri Terengganu.
"Justeru, sekali lagi ditegaskan bahawa kerajaan negeri dan seluruh rakyat Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012," ujarnya.
Persidangan DUN Terengganu yang berlangsung sejak Isnin ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan.
Media sebelum ini melaporkan, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah kedua-dua negeri di Pantai Timur itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) menetapkan setiap negeri mempunyai hak ke atas laut wilayah di pesisir yang berdampingan dengan pantai wilayahnya yang tidak melebihi tiga batu nautika dari garis air surut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!