KANGAR - Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bersikap terbuka terhadap siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak lelakinya yang ditahan reman sejak Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu juga bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berkaitan siasatan yang dijalankan.
Menurutnya, sekiranya hasil siasatan mendapati anaknya terbabit dalam kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000 sejak dua tahun lalu, SPRM berhak menghukum anaknya kerana tiada siapa yang kebal daripada undang-undang.
"Saya hadapi ujian besar ini dengan tenang, saya terima ujian ini. Kalau anak saya didapati bersalah (selepas siasatan dilakukan), hukumlah dia. Saya sudah berikan ilmu secukupnya kepada dia, sebab itu saya tidak gundah gulana,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini pada Khamis.
Pada Rabu, media melaporkan anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
Keseluruhan projek melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.
Kesemua individu berusia antara 26 hingga 37 tahun direman pada Rabu dan dilanjutkan reman hingga Jumaat, namun hanya seorang suspek dibebaskan pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Shukri melahirkan rasa kecewa terhadap SPRM berhubung prosiding kes berkenaan kerana hanya menyebut anak kepada Menteri Besar Perlis dan bukan nama sebenar individu yang ditahan.
"Saya tiada prasangka kepada SPRM sehingga mereka habis siasatan. Cuma saya kecewa SPRM sebut dalam prosiding anak kepada Menteri Besar Perlis, tak sebut nama (sebenar) dia, sekadar sebut anak MB Perlis,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kehadiran SPRM dialu-alukan untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan sehingga selesai agar dapat membuktikan kerajaan negeri pimpinannya bersih daripada unsur negatif ibarat kain putih.
"Perlis memang panas (cuaca) sekarang lagi panas sebab dihadiri SPRM Putrajaya, ada tujuh pasukan Bahagian Operasi Khas (BOK) datang Perlis dan ambil (tahan) enam orang.
"Dalam awal pentadbiran saya sudah nyatakan pejabat dibuka 25 jam sehari, boleh masuk (siasat) supaya sentiasa bersih dari unsur tak baik. Memang kelemahan saya ni terlalu percaya pada orang dan terlalu baik.
Mohd Shukri memaklumkan, pegawai SPRM turut menggeledah rumahnya dan melakukan pemeriksaan ke beberapa Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) di negeri ini.
"Salah seorang anak saya ditahan selepas rumah digeledah tetapi tak jumpa apa-apa. Mereka juga geledah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) pun tidak ada jumpa apa.
"Selepas itu, SPRM bawa anak saya reman hingga esok (Jumaat). Saya ucap terima kasih kepada SPRM hadir ke Perlis, mudahan dengan kehadiran lebih 100 orang itu selepas selesai lakukan siasatan, tiada unsur negatif berlaku, harap semua akan senyap.
"Jika ada yang sangkut (ditahan SPRM), saya anggap itu pembersihan, kita terbuka dan buka pintu untuk siasatan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, keluarganya juga tenang menerima ujian tersebut selain mendapat sokongan ramai kenalan agar tabah berdepan situasi tersebut.
"Terima kasih kepada rakan yang hubungi dan beri semangat serta doa, saya perlukan walaupun nampak tenang. Ujian besar buat saya dan saya hadapi dengan tenang diiringi doa para sahabat,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!